utama

Saling tolak ansur

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TANGGAL 4 Mei lalu genap lapan tahun usia perkahwinan pasangan selebriti terkenal, Scha Alyahya dan Awal Ashaari.

Pastinya ia bukan satu tempoh yang singkat apatah lagi dalam soal menjaga kerukunan rumah tangga, sekali gus mencipta keharmoniaan dalam perhubungan.

Malah, tidak mustahil jika Scha dan Awal sering dilabel sebagai pasangan paling serasi. Bukan saja dalam kehidupan dilalui, tapi juga personaliti dan penampilan mereka.

Bagi Scha, 37, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya apa yang cuba diterapkan sepanjang perkahwinan mereka adalah sikap tolak ansur.

"Alhamdulillah, bagi saya sikap yang paling teras perlu ada adalah tolak ansur. Faham diri sendiri, isi hati dan situasi pasangan apabila ada sesuatu isu.

"Kalau rasa 'panas', ambil masa untuk tenangkam diri sendiri. Saya tidak suka bergantung kepada pasangan saja untuk buat saya gembira.

"Saya berasa bahagia perlu datang dari dua pihak. Diri sendiri dulu dan barulah dari pasangan," katanya.

Apa yang pasti, berada di tempat Scha yang juga juri program Hero Remaja 2020 tidak mudah kerana dia perlu menjadi isteri kepada selebriti terkenal dan ibu kepada kanak-kanak paling disukai iaitu anaknya, Lara Alana.

Menurut Scha, setiap apa dilalui mematangkan dirinya untuk mendepani segala apa yang muncul.

"Alhamdulillah, pengalaman mematangkan saya. Pada mulanya memang mencabar, tapi apabila sudah lama, saya tahu apa yang patut kita beri perhatian dan tepis.

"Memang segala perkara akan diperhati sekarang ini, tapi kalau kita bijak fikir baik dan buruk, kesan dan implikasi sesuatu perkara yang kita nak buat atau kongsi, Insya-Allah kita akan jadi lebih matang dan fikir banyak kali sebelum buat, kongsi atau cakap.

"Saya juga suka kalau menjadi lebih telus, menjadi jadi diri sendiri dan berpada-pada dalam membuat apa saja dalam hidup," katanya.

Sesuatu yang berbeza juga sempena ulang tahun perkahwinan kali ini apabila tidak ada sebarang sambutan diraikan seperti sebelumnya ekoran pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tidak ada sambutan kecuali ucapan di Instagram. Saya malam di rumah dan berbuka puasa bersama keluarga kecil saya. Rasa lengkap.

"Itu pun sudah okay. Lagi pula bulan ini banyak sambutan. Bukan saja ulang tahun perkahwinan, tapi juga Hari Ibu dan hari jadi saya pada hujung bulan ini. Jadi, kami sambut secara ringkas saja," katanya.

Sentiasa bersyukur

Pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu turut menyaksikan industri kreatif termasuk penggiat seni terjejas dari segi pendapatan apabila semua projek penggambaran dan acara perlu dibatalkan.

"Bagi saya semua orang mengalami masalah sama. Cuma berlainan situasi, malah ada yang lebih teruk.

"Saya selalu cakap perlu sentiasa bersyukur. Ini ujian bersama. Selagi mampu, kita cuba tolong mereka yang lebih memerlukan. Insya-Allah saya harap kita semua berjaya harungi ujian ini bersama dan kuat untuk bangkit semula apabila wabak ini reda.

"Macam saya, ada beberapa projek tergendala seperti program Hero Remaja 2020 akhir yang mungkin akan dibuat selepas sambutan Aidilfitri. Begitu juga dengan program Pa Ma Bersama Schawalara pun masih dalam perbincangan bila nak mulakan semula selepas dua bulan tergendala," katanya.

Selain itu, menurut Scha yang juga pelakon drama 3 Dara Pingitan berkongsi turut terbabit menjayakan beberapa komitmen dari rumah.

"Ada juga duta yang terpaksa dibatalkan selain penggambaran ditunda. Selebihnya, saya ada buat kerja dengan memuat naik di media sosial.

"Paling ketara sebab apabila duduk rumah, sudah malas nak bersiap. Jadi, kami kongsi gambar ala kadar saja," katanya.

Mengenai sambutan Ramadan dalam tempoh PKP pula, Scha menyifatkan ia peluang terbaik dalam mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

"Alhamdulillah, saya rasa setakat ini semuanya okay. Makin rapat dan makin tahu pasangan masing-masing. Apabila sudah terlalu lama bersama iatu 24 jam sehari, akan ada perkara yang kami tak dapat elak seperti salah faham dan sebagainya.

"Tapi, sudah tahu macam mana nak kawal situasi. Semua akan ada masa yang tertekan. Jadi, kami sudah bijak tangani.

"Kami juga banyak berkongsi di IG perniagaan mana-mana pihak yang sudi menghantar makanan atau barang. Kepada yang hantar makanan dan baju, alhamdulillah," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 6:00am
d