utama

Siasat punca dua penuntut positif di Sabah

Oleh Saipul Adli Mohamad

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan Covid-19 membabitkan dua penuntut universiti awam di Sabah, yang baru pulang dari semenanjung.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan perkara itu berkata, kedua-dua penuntut terbabit sudah diasingkan dan diberi rawatan.

"Apa perlu dilaksanakan ketika ini adalah pengesanan kes aktif apabila KKM menjalankan siasatan punca jangkitan itu.

"Kita sudah mengenal pasti universiti berkenaan dan menjalankan saringan ke atas (kakitangan) universiti itu.

"Walaupun mereka (penuntut) dikuarantin selama empat minggu, tetapi ada pendedahan dengan pekerja universiti. Pekerja terbabit keluar masuk universiti dan besar kemungkinan ada pendedahan (Covid-19)," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Pada Isnin lalu, Sabah mencatatkan peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 dengan 10 kes dan dua daripadanya adalah penuntut universiti yang tiba dari Semenanjung.

Seramai 1,048 penuntut kembali ke kampung masing-masing di Sabah manakala Sabah pula menghantar pulang 1,612 penuntut ke Semenanjung, Labuan dan Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 5:37pm
    d