utama

Intai tahap 'luar biasa'

Oleh Georgie Joseph

ANTARA dilema besar yang dihadapi pelakon kita ialah mereka tidak tahu sejauh mana bakat lakonan diterima peminat.

Tiada formula tetap untuk menentukan sama ada bagus atau tidak kemampuan dalam diri.

Ini yang dirasakan Josiah Hogan, 34, atau nama sebenarnya Josiah Padilla Hogan mengenai kedudukannya dalam bidang lakonan di negara ini.

Walaupun sudah lebih 10 tahun menjual bakatnya, dia sukar mengadili sama ada cukup berkesan atau tidak setiap lakonannya.

Baginya, mungkin apa yang dirasakan itu kerana dia belum berpeluang diberikan drama untuk slot perdana.

Menurutnya, persoalan itu mungkin hanya akan terjawab sekiranya sudah mendapat peluang itu.

"Sukar untuk mengatakan sama ada lakonan saya cukup atau tidak untuk menyentuh hati penonton. Memang sudah banyak drama saya berlakon, tetapi belum ada yang benar-benar buatkan saya dikenali secara luar biasa.

"Saya akui sehingga sekarang tidak berpeluang dapat terbabit dengan drama yang ditayangkan di slot perdana di mana-mana stesen TV pun. Itu peluang yang paling saya intai sekarang untuk mengetahui pengaruh bakat diri.

"Barangkali penonton akan lebih mengenali saya selepas mendapat peluang itu atau sebaliknya. Pada ketika itu, baru saya rasa persoalan ini terjawab dan bagaimana mengatur langkah seterusnya dalam bidang seni, katanya.

Pelakon drama bersiri Degup Cinta yang kini ditayangkan menerusi Astro Ria ini juga tidak menafikan ada terdetik untuk meninggalkan bidang lakonan.

Walaupun ia cuma perasaan liar, tapi Josiah tidak dapat mengelak daripada berfikir mengenainya.

Bagaimanapun, setiap hari ada saja perkara yang membuatkan dia kuat berjuang sebagai anak seni.

Terbaru, dia turut menerima mesej peribadi yang begitu menyentuh hatinya, sekali gus terharu dan usaha kerasnya selama ini berbaloi.

"Kalau ikutkan, perasaan sama ada mahu teruskan perjuangan atau tidak dalam bidang lakonan sentiasa terbit di hati. Namun, lakonan adalah sumber rezeki yang paling membahagiakan saya sehingga sekarang.

"Apa yang menguatkan saya adalah setiap kali mendapat kata-kata semangat daripada peminat. Contohnya baru-baru ini, seorang peminat lelaki yang pertama kali melihat lakonan saya menyuruh saya tidak berhenti berlakon.

"Mesejnya sangat menyentuh di mana dia sangat percayakan bakat lakonan saya. Ia cukup bermakna buat saya memandangkan kebiasaannya cuma peminat wanita yang akan memberi kata-kata pujian, katanya.

Emosi luar biasa jayakan Degup Cinta

Bercerita mengenai drama bersiri Degup Cinta lakonannya itu, Josiah tidak menafikan drama berkenaan cukup bermakna sepanjang kerjaya lakonannya.

Dia mengakui ia naskhah yang benar-benar melekat di hatinya.

Diadaptasi daripada sebuah drama Turki, dia mengakui emosinya lebih luar biasa membawa watak Reza dalam drama arahan Shahrulezad Mohamedin itu.

Katanya, dia tidak pernah mengalami perasaan sedemikian sebelum ini.

"Saya boleh katakan, watak dalam drama ini adalah watak yang saya idamkan selama ini. Apatah lagi ia membabitkan kisah suami isteri yang mana cukup dekat di hati saya memandangkan saya juga sudah berumah tangga.

"Sebagai persiapan, saya menonton semua episod drama asal dari Turki itu. Sekarang ini, emosi saya akan terjentik setiap kali mendengar runut bunyi drama berkenaan dan mengimbau kenangan ketika penggambaran, katanya.

Josiah turut mendedahkan, dia hampir putus harapan terhadap drama itu apabila diberitahu ia tidak mungkin akan ditayangkan.

Ini kerana penggambaran dibuat pada 2017 dan hanya mendapat slot di TV tahun ini.

Namun dia bersyukur apabila drama terbabit akhirnya mendapat permintaan untuk ditayangkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus membuatkan kegusaran yang bersarang di hatinya terlerai.

"Saya rasa itu antara hikmah yang berlaku sepanjang PKP ini. Mulanya, saya sudah reda apabila mendapat bayangan bahawa Degup Cinta mungkin tidak akan ditayangkan selepas 'diperap' lebih tiga tahun.

"Tiba-tiba, kami mendapat khabar gembira apabila drama itu akhirnya dibeli stesen TV untuk ditayangkan sepanjang PKP. Tentu sekali saya sangat bersyukur disebabkan naskhah ini memang saya tunggu-tunggu untuk ditayangkan, katanya.

Selain Josiah, Degup Cinta turut diibintangi Shiqin Kamal, Juliana Evans dan Mathni Razak.

Isteri beri kepercayaan penuh

Sebagai lelaki yang sudah berkeluarga, Josiah juga tidak melihat perkara itu sebagai isu besar untuk terus berlakon.

Menurutnya, dia sangat bertuah memiliki isteri, Nurul Hidayu Nordin yang sangat memahami kerjayanya.

Awal-awal dulu, dia agak bimbang kerana kerjaya saya memerlukan saya sentiasa sibuk dan jumpa ramai pelakon wanita. Bagaimanapun, bagi saya lakonan ini cuma kerjaya semata-mata dan tidak lebih daripada itu.

"Lagipun, sejak saya mula berlakon dulu pun, saya bukan suka bersosial. Habis kerja, saya akan pulang rumah dan begitu juga situasi berlaku sekarang di mana saya terus pulang Kuantan jika tiada penggambaran.

"Keluarga sentiasa menjadi keutamaan apasaya bila tidak bekerja dan disebabkan itu isteri memberi kepercayaan penuh. Walaupun penat berulang-alik ke Kuala Lumpur, saya tidak rasa terbeban langsung, katanya.

Dalam pada itu, kelmarin Josiah turut berkongsi berita gembira dikurniakan anak keempat selepas isterinya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.6 kilogram, jam 1.37 pagi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Dia bersyukur kelahiran itu dipermudahkan, namun sedikit bimbang apabila isterinya mengalami kesakitan yang lebih untuk proses kelahiran kali ini.

Josiah dan Nurul Hidayu mendirikan rumah tangga pada Mei 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ireleen Padilla Hogan, 6, dan Irsa Padilla Hogan, 4. Ini adalah perkahwinan kedua pelakon terbabit.

Pada perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan anak lelaki iaitu Irvine Padilla Hogan yang kini berusia 14 tahun.

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 6:00am
d