utama

Tak takut pun

Oleh Firdaus Hashim

SAMA ada diletakkan dalam kumpulan maut ataupun tidak, ia langsung tidak menggugat keyakinan pengendali skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Brad Maloney terhadap kemampuan anak buahnya menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober depan.

Skuad negara yang mara ke pusingan akhir selepas menjuarai peringkat kelayakan Kumpulan G bakal diletakkan dalam balang 3 bersama-sama Iraq, Vietnam dan Kemboja pada majlis undian 18 Jun ini.

Kedudukan itu sudah pastinya meletakkan Malaysia dalam situasi bahaya apabila kemungkinan bakal berada sekumpulan dengan gergasi Asia seperti Arab Saudi, Korea Selatan, Qatar, Uzbekistan, Jepun atau Australia yang masing-masing diletakkan dalam balang 1 dan 2.

Bagaimanapun, Maloney enggan melatah dan percaya keajaiban mampu dilakar sekiranya pemain memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

Katanya, setiap pasukan yang layak di pusingan akhir memiliki kelebihan tersendiri dan tidak terkecuali skuad kendaliannya yang memperagakan aksi terpuji hingga berjaya menidakkan kemaraan pasukan pilihan, Thailand dalam peringkat kelayakan sebelum ini.

"Ya benar kami diletakkan dalam balang 3 dan sudah tentunya semua pasukan yang layak atas kemampuan dan merit yang dicapai, sekali gus undian (pusingan akhir) bakal berlangsung sengit.

"Di peringkat ini, saya anggap jurang antara setiap pasukan tidak begitu ketara dan kami kena berada pada prestasi terbaik bagi memberi saingan kepada negara lain," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pada aksi kelayakan November tahun lalu, skuad B-19 tahun negara yang diketuai penyerang prolifik, Luqman Hakim Shamsudin mendominasi Kumpulan G dengan menyapu bersih 12 mata.

Ia termasuk kejutan ke atas pasukan Thailand dengan kemenangan 1-0 untuk memberi tamparan hebat kepada skuad Gajah Perang itu yang tidak pernah gagal layak ke pusingan akhir sebelum ini.

"Walau pasukan mana pun yang kami akan temui, kami harus hormati mereka dan paling penting adalah persiapan sendiri supaya pasukan dapat berikan persembahan terbaik dalam setiap aksi," kata pengendali dari Australia itu.

Selain memburu trofi kejuaraan, empat slot ke Piala Dunia B-20 di Indonesia pada tahun depan turut menjadi buruan 16 pasukan bertanding di Uzbekistan itu termasuk skuad negara.

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 7:01am
d