utama

Luar biasanya Mohamad Jafri

Oleh Redzuan Muharam

KEMAHIRAN menjahit dimiliki tidak disia-siakan orang kurang upaya, Mohamad Jafri Daud, 29, yang kudung kedua-dua tangannya sejak lahir.

Mohamad Jafri yang menetap di Taman Melati, Gombak memanfaatkan kemahiran itu bagi menjana pendapatan dengan mengambil upah menjahit dan membaiki seluar.

Anak ke-11 daripada 12 beradik itu berkata, pekerjaan terbabit dilakukan selepas tamat kursus jahitan bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan, Bangi, Selangor pada 2012.

Menurutnya, dia mula menimba pengalaman dengan bekerja di sebuah kedai membaiki pakaian di Puchong selama setahun sebelum mencari rezeki di Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, selepas hampir dua tahun, dia berhijrah ke Kuala Lumpur dengan menjadi tukang jahit bebas sepenuh masa.

Meskipun pendapatan diterima tidak lumayan, pemuda berasal dari Machang, Kelantan itu puas kerana menjahit adalah pekerjaan yang diminatinya.

"Pada 2011, saya menyambung pengajian dalam kursus komputer SKM tahap satu dan sepatutnya ke peringkat seterusnya tetapi beralih menyertai kelas jahitan kerana keinginan mempelajari kemahiran itu.

"Mulanya rasa tidak boleh buat tetapi rupanya ada cara Allah beri untuk orang seperti saya lakukannya.

"Lama-kelamaan saya jadi terbiasa dan tidak rasa susah untuk menjahit, cuma minat lebih kepada jahitan membaiki seluar," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia mengambil masa selama 30 minit hingga sejam untuk membaiki seluar pelanggan.

Katanya, pendapatan diterima tidak menentu tetapi kebiasaannya tidak lebih daripada RM1,000 sebulan.

"Selalunya pelanggan akan meminta membaiki seluar mereka memandangkan itu adalah kemahiran saya.

"Namun, saya ada juga pengalaman menjahit baju pasang tahun lalu sewaktu bekerja di Semenyih.

"Setakat ini, keluarga terutama ibu memberi sokongan kepada saya untuk terus menceburi bidang itu," katanya.

Mohamad Jafri berkata, masih ada pelanggan yang memerlukan khidmatnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun bilangannya tidak ramai.

"Pelanggan masih ada tetapi agak berkurangan, kemungkinan besar disebabkan PKP.

"Sesekali saya gunakan masa yang ada dengan mengadakan siaran langsung di Facebook bagi berkongsi kemahiran yang ada dengan rakan dan pengikut," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 9:00pm
d