utama

Nota Khairul Aiman buat cikgu sebak

Oleh hmdigital

KUNJUNGAN warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Sena menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Kampung Tok Bedu di sini mengundang sebak seorang guru wanita apabila dia menerima kertas terkandung ucapan penghargaan daripada muridnya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Salmi Mohd Salleh yang bertugas sebagai Penolong Kanan Pendidikan Khas teruja apabila anak muridnya, Khairul Aiman Khairudin berusia lapan tahun menghulurkan sekeping kertas yang tertulis ucapan I Love Cikgu.

Menurutnya, Khairul Aiman yang berkerusi roda kerana masalah saraf menyebabkannya tidak boleh berjalan antara murid yang cekal dan sentiasa ceria ketika berada di sekolah.

"Dia antara murid yang senang untuk diurus dan suka tersenyum kepada saya bahkan selalu beritahu bahawa saya guru kegemarannya.

"Tidak sangka dia luah perasaan dengan menulis ucapan penghargaan ini untuk diberi kepada saya. Ia amat bermakna sekali bahkan dianggap satu hadiah sempena Hari Guru pada Sabtu ini," katanya.

Salmi bersama guru lain yang diketuai guru besar, Mohd Zubir Mat Zain tampil menyumbangkan sumbangan kepada Khairul Aiman yang kematian bapa sejak empat tahun lalu akibat sakit jantung.

Khairul Aiman mengalami masalah saraf sejak dilahirkan dan ibunya, Fairuz Awang, 42, turut mengalami penyakit sama, tetapi dua beranak itu tabah menghadapi dugaan dan menjalani kehidupan seperti biasa dengan bantuan ahli keluarga terdekat.

Menurut Fairuz, apabila diberitahu kepada Khairul Aiman bahawa guru kegemarannya akan datang melawat dia terus mengambil kertas dan menulis ucapan penghargaan.

"Sebenarnya dia rindu sekolah, guru dan rakan kerana sering maklumkan pada saya bila boleh bersekolah semula, tetapi saya maklumkan padanya tunggu sehingga keadaan pulih.

"Apabila diberitahu ada gurunya nak datang dia suka sangat dan sentiasa tersenyum," katanya.

Menurutnya, dia yang tidak mempunyai keupayaan menghantar Khairul Aiman ke sekolah mengupah kenalan terdekat untuk membawa anak tunggalnya itu.

"Walaupun dalam keadaan serba kekurangan ilmu sangat penting dan sebagai ibu, saya akan pastikan Aiman mendapat pendidikan n secukupnya," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 7:30am
d