utama

Syukur dapat kembali solat Jumaat [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

"SYUKUR kerana sekian lama tidak dapat bersolat Jumaat di Masjid Negara akhirnya dapat melakukannya selepas kerajaan memberi sedikit kelonggaran untuk mengerjakan solat itu seperti biasa," kata kakitangan Masjid Negara, Muhammad Noriman Kamaruddin, 27.

Muhammad Noriman berkata, terima kasih kepada kerajaan memberi kebenaran ini walaupun tidak dibenarkan dalam jumlah yang ramai namun sangat bersyukur kerana sudah lama tiada solat Jumaat di sini.

Menurutnya, apa yang dilakukan kerajaan itu demi keselamatan semua dan kesejahteraan rakyat dan perlu mengikut prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, guru tahfiz, Ahmad Mujahid Salleh Sani, 35, berkata, dia bersyukur dan gembira apabila diberi peluang kembali menunaikan solat Jumaat walaupun perlu mengikut SOP ditetapkan.

"Alhamdulillah dan ia satu perasaan yang sukar digambarkan dan gembira dapat menunaikan semula solat Jumaat," katanya.

Kerajaan semalam membenarkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan berstatus zon hijau menunaikan solat Jumaat, berjemaah, tarawih dan Aidilfitri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu diputuskan selepas resolusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang 8 Mei lalu sebelum dipersembahkan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 3:02pm
d