utama

Covid-19: Tiada kematian, 36 kes baharu [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

TIADA kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 112 kes iaitu 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes

Beliau turut memaklumkan sehingga 12 tengah hari, terdapat 36 kes baru yang dilaporkan dengan 28 kes adalah dalam kalangan bukan warga negara Malaysia.

Katanya, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 6,855 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid - 19 adalah 1,304 kes.

"Sehingga kini, seramai 14 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, lima kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membangunkan sistem pengkalan data dikenali sebagai e Covid sebagai usaha pemurnian data berkaitan wabak itu.

"Ia dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan pengumpulan data daripada lapangan dapat dijalankan dengan lebih berkesan, cepat dan tepat.

"Penyeragaman sistem data makmal dari semua makmal Covid-19 iaitu makmal KKM, universiti, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), hospital angkatan tentera dan juga makmal swasta pula dipertingkatkan dengan menggunakan Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA)," katanya.

Katanya, sistem ini dibangunkan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan mula digunakan semua makmal Covid-19 mulai pertengahan April 2020.

"Ini satu pencapaian yang baik berbanding dengan sebelum ini, yang mana data dari lapangan dan makmal dilaporkan secara manual," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 6:10pm
    d