utama

Rezeki karya malar segar

Oleh Najiy Jefri

WALAUPUN drama bersiri popular Nur sudah ditayangkan dua tahun lalu, namun ia masih mendapat permintaan tinggi penonton di TV3 serta menjadi sohor kini di platform penstriman atas talian, Netflix.

Siapa sangka, drama yang dibintangi pelakon popular Amyra Rosli itu terus diterima ramai dan menjadi sebuah karya malar segar, sekali gus nama Amyra sekali lagi menjadi perhatian umum.

Amyra berkata, dia menganggap tayangan semula drama Nur di slot Samarinda TV3 itu adalah rezeki memandangkan dia tidak mempunyai sebarang produk baru selepas melahirkan cahaya mata kedua pada 1 Februari lalu.

"Alhamdulillah, saya sendiri pun tak sangka yang Nur sekali lagi akan mendapat sambutan walaupun selepas dua tahun ditayangkan. Saya anggap apa yang berlaku ini adalah rezeki daripada Tuhan. Dia menyusun perjalanan yang terbaik untuk saya. Jika diikutkan saya mahu berehat daripada sebarang penggambaran selama enam bulan selepas melahirkan anak kedua ini kerana ingin memberikan tumpuan terhadap kedua anak.

"Namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan pada 18 Mac lalu memberi hikmah apabila drama Nur ditayangkan semula sempena Ramadan ini. Malah, saya juga ada menerima mesej peribadi di Instagram yang mengatakan tahun ini mereka baru berpeluang mengikuti drama itu sepenuhnya.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua peminat yang tidak putus menyokong dan mempercayai bakat seni saya ini," katanya.

Biarpun namanya menjadi perhatian kerana kejayaannya membawakan watak itu, namun Amyra tidak terlepas daripada komen negatif di media sosial apabila penampilannya yang tidak berhijab dalam drama itu mengundang reaksi kurang senang sesetengah pihak.

Walaupun rata-rata mengetahui drama itu ditayangkan semula siarannya, namun Amyra tidak terlepas daripada pertanyaan yang dianggap sensitif bagi individu yang kini belajar untuk berhijab sepenuhnya.

"Memang saya ada terima komen dan mesej peribadi yang seakan mempertikaikan tindakan saya mempromosikan drama Nur dalam keadaan diri saya yang belum berhijab ketika itu.

"Bagaimanapun, saya tidak suka ambil pusing mengenai perkara itu dan memilih untuk tidak membalasnya. Sebelum ini, saya tidak pernah mengatakan saya berhijab sepenuhnya kerana bimbang iman seseorang itu ada naik turunnya, tapi saya harap dijauhkan.

"Saya hanya promosikan karya yang saya lakonkan dua tahun lalu. Keadaan saya tidak berhijab itu adalah perkara lalu dan kalau membuat pencarian di Internet pun banyak saja gambar tidak berhijab dan saya mohon tidak dijadikan sebarang isu," katanya.

Menurut Amyra, gambar tanpa tudung yang dikongsi di laman sosial bagi mempromosikan produk baru-baru ini juga bukan baru diambil, sebaliknya gambar berkenaan dimuat naik berikutan dirinya terikat dengan komitmen yang sudah dipersetujui, sebelum ini.

Katanya, sesetengah warganet tidak memahami kontrak membabitkan duta atau wajah sesuatu barangan dan perkhidmatan, sekali gus membuatkannya lebih selesa membiarkan sahaja tanggapan negatif pihak terbabit.

"Sejak bergelar ibu kepada dua anak ini, masa saya banyak dihabiskan dengan anak-anak. Saya tiada masa untuk melayan komen negatif. Kalau rasa nak luahkan perkara itu pun saya akan beritahu suami.

"Bagi saya buat apa nak bertelagah di media sosial. Ia tidak akan membawa ke mana, malah akan lebih menyakitkan hati. Saya memang berkongsi beberapa hantaran tanpa tudung. Ia sebenarnya gambar lama untuk promosi barangan yang sudah dipilih pemilik produk, sebelum ini. Selain barangan, banyak juga gambar saya tanpa

tudung digunakan dalam 'teaser' drama.

"Saya tahu, ada yang keliru dan tertanya-tanya apabila melihat perkongsian terbabit. Namun saya selesa penampilan ini (bertudung). Saya tahu, perkara (perubahan) sebegini mengambil masa, tetapi kalau orang masih mahu mengata, tak mengapa asalkan suami dan keluarga tahu niat saya," katanya.

Perancangan anak

Kebahagiaan jelas terpancar di wajah Amyra apabila kehidupannya lengkap dengan kehadiran suami yang juga pelakon, Amar Baharin dan sepasang cahaya mata, Aqeef Anaqi, 2, dan Ayra Aryssa.

Ditanya adakah dia mempunyai perancangan untuk menambah zuriat pada masa mendatang, Amyra berkata, dia ingin memiliki zuriat lagi namun perlu menjarakkan kerana kelahiran kedua dilakukan secara pembedahan.

"Selepas dua tahun melahirkan Anaqi, saya dikurniakan rezeki anak kedua. Memang nak tambah anak lagi, tapi mungkin kali ini nak jauh sikit jaraknya sebab proses pembedahan anak kedua sangat sakit dan perlu pastikan luka itu baik sepenuhnya," katanya.

Doa perniagaan berjaya

Menyentuh mengenai perancangan masa depan memandangkan Amyra dan Amar berada dalam lapangan kerjaya yang sama dan pastinya terjejas akibat PKP yang dilaksanakan, Amyra berkata, mereka sebenarnya sudah mempunyai idea untuk membuka sebuah perniagaan.

"Saya dan Amar ada berbincang sesuatu untuk memulakan perniagaan. Kami juga ada menyewa tapak untuk melakukan sesuatu, tapi disebabkan dugaan yang berlaku ini kami terpaksa tangguhkan seketika.

"Walaupun sebahagian modal sudah dikeluarkan, tapi kami fikir kami tangguhkan seketika bagi memastikan keadaan benar-benar pulih. Doakan semoga perniagaan yang bakal dilaksanakan nanti dipermudahkan,"katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 6:00am
d