utama

Guru dalami kebiasaan baharu pendidikan

Oleh Mahaizura Abd Malik

GURU disaran menyahut cabaran untuk terus mendalami kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) maya dan dari rumah yang akan memacu pendidikan negara pada masa hadapan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pendigitalan menggunakan platform dalam talian atau pembelajaran maya akan terus diperkasa.

"Saya percaya pembelajaran maya adalah masa depan dalam pendidikan.

"Jadi, saya menyeru kepada guru-guru supaya mendalami kemahiran pengajaran secara atas talian dan home-based learning yang menjadi kebiasaan baharu dalam bidang perguruan," katanya dalam Perutusan Khas Sempena Hari Guru hari ini.

Beliau berkata, penularan wabak Covid-19 banyak mengubah amalan pendidikan dan menjadikan guru lebih kreatif untuk berhubung dengan pelajar.

"Ramai yang menggunakan aplikasi dalam talian seperti Google Classroom, cikgooTUBE dan Zoom untuk melaksanakan pembelajaran di rumah atau home- based learning.

"Tidak kurang juga cikgu yang menggunakan Whatsapp dan Telegram. Saya diberitahu, ada juga cikgu yang menyampaikan latihan sukan secara atas talian," katanya.

Namun katanya, beliau menyedari masih terdapat kekangan dalam melaksanakan PdP dalam talian di rumah kerana tidak semua murid mempunyai akses Internet yang baik dan peranti sesuai.

Muhyiddin memuji usaha guru yang prihatin terhadap golongan itu dengan menggunakan kaedah lain termasuk mencetak soalan dan dihantar ke rumah pelajar.

"Sebagai contoh, ada yang mencetak soalan untuk kerja rumah murid dan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menghantar soalan ke rumah murid.

"Saya amat terharu dan sangat menghargai kesungguhan guru dan ibu bapa kita," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 11:48am
d