utama

Belum ada tarikh buka sekolah

Oleh Mahaizura Abd Malik

KERAJAAN belum memutuskan tarikh pembukaan persekolahan khususnya buat pelajar tingkatan lima dan enam yang akan menduduki peperiksaan penting, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, sekolah akan dibuka semula selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disertai prosedur operasi standard (SOP) sesuai mengikut amalan pencegahan Covid-19.

"Selepas dua bulan sekolah ditutup, saya percaya ramai yang bertanya, bila sekolah akan dibuka?

"Seperti mana yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan (Dr Mohd Radzi Md Jidin) sebelum ini, tarikh pembukaannya akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

"Ini bergantung kepada nasihat diberikan KKM," katanya dalam Perutusan Khas Sempena Hari Guru, hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga kekal dengan pendirian awal bahawa pembukaan sesi persekolahan itu akan mengutamakan pelajar bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Katanya, ia bagi memastikan SOP penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri benar-benar dapat dilaksana.

"SOP ini membabitkan prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, sususan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 12:00pm
    d