utama

'Ketika PKP pun kami sibuk!'

Oleh Norhayati Nordin

WALAUPUN cukup dikenali dengan lagu berbaur sindiran sinis dan seiring isu semasa, Drama Band berjaya dalam 'menjenamakan' perjuangan muzik mereka.

Bertepatan maksud 'drama' yang diguna sebagai nama kumpulan itu, pastinya karya dihasilkan penuh dengan mesej dan pelbagai ceritera ragam manusia dalam kehidupan seharian.

Drama Band yang dianggotai Aepul Roza (penyanyi), Adib (gitar utama), Padel (gitar kedua), Daus (bass), Omey (keyboard) dan Faez (dram) rancak menghasilkan lagu baharu yang mendapat perhatian ramai seperti Kayangan dan terkini, Bertahanlah.

Drama Band jug seolah-olah tidak terkesan dengan situasi penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Aepul berkata, dia bersyukur momentum aktiviti seni Drama Band tidak begitu tergugat dan sebenarnya banyak tawaran persembahan diterima biarpun hanya program menyanyi dari rumah.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana sejak 18 Mac lalu, kami tetap sibuk menghasilkan lagu baharu dan berjaya menyiapkan karya untuk satu album mini.

"Saya sendiri sudah menghasikan lima lagu yang ilhamnya berkisar pada isu semasa. Malah, setiap lagu dicipta itu, saya akan berkongsi dengan pengikut di Twitter dahulu.

"Saya selesa membuat perkongsian di Twitter kerana membantu komunikasi dengan pendengar. Ia lebih dekat dan maklum balas diterima juga cepat. Di Twitter, perbincangan agak terbuka, katanya.

Menurutnya, banyak juga perkongsian idea diterima daripada orang ramai di Twitter yang sangat membantu untuk berkarya.

Menurut Aepul, dia sebaik mungkin memanfaatkan kemudahan media sosial untuk perkembangan karier Drama Band.

Bercerita mengenai album mini, Aepul berkata, lagunya sudah mencukupi, cuma masih ada sedikit lagi proses kerja rakaman perlu disiapkan.

"Dijangka ada lima atau enam lagu akan dimuatkan dalam album ini nanti. Malah, Drama Band juga sudah memilih judul sesuai untuk album kami iaitu PKP yang bermaksud Perintah Kawalan Perangai.

"Semua lagu ada penceritaaan dan mesej tersendiri yang ilham penciptaannya diperoleh ketika PKP. Antara lagu yang sudah ada judulnya ialah Kuek Kuek, Kayangan dan Gila Baby, katanya yang belum mahu mendedahkan judul tiga lagi lagu.

Ditanya juga mengenai kerjasama dengan penyanyi lain, Aepul berkata sebagai komposer dan penuzik, dia sentiasa bersedia membantu penggiat seni lain. Dia juga membantu penyanyi Syamel untuk lagu baharu berjudul Curang. Selain itu, dia juga menghasilkan satu lagu baharu untuk Usup Mentor.

Menurut Aepul, kebanyakan lagu dihasilkannya bergantung pada kesesuaian vokal seseorang penyanyi.

Mengulas mengenai kecaman dan kritikan, Aepul berkata, Drama Band sudah lali dengan semua itu dan enggan melayan.

Katanya, apabila sesuatu karya dikecam atau mendapat kritikan, ia menunjukkan lagu itu mendapat perhatian pendengar.

Rai Aidilfitri di ibu kota

Arahan kerajaan yang tidak membenarkan orang ramai pulang ke kampung meraikan Aidilfitri minggu depan tidak mendatangkan masalah buat Aepul dan keluarga. Ini kerana Aepul yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Leez Rosli pada 2015 dan dikurniakan seorang anak, Nur Saffiya Alisha, 4, bernasib baik kerana semua ahli keluarga mereka menetap di Kuala Lumpur.

Menurut Aepul, mereka juga tinggal berhampiran dengan kediaman ibunya dan keluarga mentua.

Raya kami setiap tahun hanya pusing-pusing di Kuala Lumpur. Paling jauh pun, saya akan balik ke rumah keluarga bapa di Rembau, Negeri Sembilan. Tapi, tahun ni tak bolehlah.

"Saya akur dengan semua arahan kerajaan. Cuma, sedih sikit sebab tak dapat balik Rembau. Apatah lagi, kes jangkitan Covid-19 di sana pun agak tinggi. Kini, saya hanya mampu berdoa. Semoga Allah melindungi semua ahli keluarga di sana.

Aepul berkata, disebabkan Covid-19 juga dia buat kali pertama dilarang ibunya datang ke rumah untuk berbuka puasa.

"Kini, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan saya terfikir juga mahu ke rumah ibu untuk berbuka puasa bersama. Tapi, ibu saya sendiri melarang datang ke rumahnya kerana enggan ambil risiko, katanya.

Aepul berkata, dia sedar ibunya yang kini berusia 60 tahun adalah golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

"Tak kisah kena pendam rindu tak dapat bersemuka dengan ibu asalkan kesihatannya terjamin, katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 6:00am
d