utama

'Bapa jadi mata saya'

Oleh Nurul Husna Mahmud

DI SEBALIK kecacatan penglihatan dialami sejak kecil, Guru Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Sekolah Kebangsaan Taman Desa 2 Rawang Selangor, Nor Azlina Ibrahim tidak meletakkan itu penghalang untuk menabur bakti kepada anak didiknya.

Meskipun cabaran terbesar apabila kebanyakan bahan pengajaran menggunakan visual memerlukan penghayatan penglihatan, guru lepasan Maktab Institut Bahasa Lembah Pantai itu tidak berputus asa.

Katanya, apatah lagi ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan guru membekalkan bahan bersesuaian benar-benar mencabar kredibilitinya.

"Saya mengajar murid mengalami masalah pembelajaran, mereka ini lebih kepada pendekatan bahan berbentuk ilustrasi, gambar dan warna-warni.

"Semua itu adalah halangan terbesar sebab saya tidak dapat melihat, jadi untuk pencarian bahan di Internet satu masalah.

"Mujurlah sebalik kesukaran itu saya dibantu oleh bapa Ibrahim Hasan, 73, sudi menjadi 'mata' di samping guru dan pembantu pendidikan yang membantu menyediakan bahan pengajaran," katanya.

Mengakui ada ketikanya tertekan dengan situasi berkenaan kerana berasakan diri tidak dapat memberi sesuatu terbaik, Nor Azlina, setiap hari dia bangun dengan fokus memikirkan pendekatan terbaik untuk anak muridnya.

"Memang ada ketika saya frust sebab diri rasa masih tidak cukup 'memberi' kepada anak murid mengenai ilmu penting untuk masa depan mereka.

"Mengajar anak didik saya sendiri iaitu murid pendidikan khas itu sendiri sudah mencabar kerana ada 'ragam' dan tidak boleh mengikut atau memahami arahan dengan baik seperti anak normal.

"Saya perlu asuh modul pengajaran seperti pengurusan diri sebaik mungkin supaya mereka boleh capai dan berdikari dalam persekitaran normal.

"Meskipun tidak dapat lihat saya tahu reaksi mereka sukakan apa yang diajar kalau mereka beri respon seperti ketawa dan bersuara bising," katanya.

Sekolah berkenaan adalah sekolah ketiga dan sekolah pertamanya Sekolah Kebangsaan Wangsa Jaya Wangsa Maju, Kuala Lumpur adalah mengajar anak murid normal.

"Pengalaman mengajar anak murid normal juga pernah sebab selepas keluar maktab saya ditugaskan mengajar subjek Kajian Tempatan di Sekolah Kebangsaan Wangsa Jaya.

"Lucunya ada satu ketika saya menggunakan peta yang menggunakan tali untuk membantu mengajar turut menarik perhatian murid.

"Mereka turut datang ke depan kelas dan turut meniru cara saya merasa dan memegang tali.

"Selain itu, mereka juga layan saya seperti guru lain apabila datang ke meja dan bercerita mengenai hal-hal seperti rancangan kesukaan dan gosip hiburan. Saya tidak rasa layanan diberikan berbeza dengan guru yang lain," katanya.

Ditanya apa kepuasan dan pendorong kepada tugasnya terutama guru pendidikan khas sejak 2008, guru itu berkata, kegembiraan anak muridnya.

"Pada saya menjadi guru pendidikan khas ini tugas sangat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi. Guru yang normal juga kadang-kala kalah dengan anak istimewa ini bagaimana pula dengan situasi saya tidak ada penglihatan.

"Penguat saya ialah setiap hari saya terfikir kalau saya putus asa, kasihan anak murid saya. Siapa yang akan mengajar mereka kalau bukan saya," katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 6:35am
d