utama

Covid-19: Tiada kematian, 22 kes baharu

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

TIADA kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 113 kes.

Beliau turut memaklumkan sehingga 12 tengah hari, terdapat 22 kes baharu yang dilaporkan dengan lima daripadanya membabitkan kes import, sembilan kes dalam kalangan warga asing dan 17 kes penularan tempatan.

Katanya, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 6,894 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,210 kes.

"Sehingga kini, seramai 13 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, terdapat 59 kes sudah pulih dan dibenarkan discaj, hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan sudah discaj dari wad adalah sebanyak 5,571 kes atau 80.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 4:43pm
    d