utama

Beraya bersama keluarga

Oleh Sudirman Mohd Tahir

MENJADI bintang terkenal menuntut Janna Nick berkorban dalam banyak perkara terutama kualiti masa baik untuk diri sendiri, keluarga, rakan mahu pun orang tersayang.

Komitmen yang diberikan terhadap kerjaya bukan saja sebagai pelakon, tapi juga penyanyi dan pengacara menjadikan Janna, 25, atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner sentiasa menunggu waktu sesuai untuk bercuti.

Apa yang pasti, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi perspektif berbeza dalam diri pelakon yang popular menerusi drama Cari Aku Di Syurga itu.

Malah, sambutan Ramadan kali ini juga dianggap nikmat paling berharga kerana dijalani dalam suasana lebih tenang tanpa terikat dengan sebarang kerja.

"Sudah bertahun niat nak bercuti sewaktu Ramadan, tapi tidak pernah kesampaian. Akhirnya disebabkan PKP dan PKPB dapat juga cuti sepanjang Ramadan. Saya anggap ini sebagai hikmah atas apa yang berlaku. Pastinya bukan untuk saya saja, tapi orang lain juga mungkin merasai perkara sama," katanya.

Menurut Janna yang juga pengacara program Melodi, banyak perkara dipelajari selain dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

"Kalau sebelum ini susah nak luangkan masa bersama, kali ini lebih masa untuk diri sendiri dan keluarga. Saya juga dapat tambah banyak ilmu seperti memasak soal agama. Selain itu, saya belajar menjadi lebih kreatif.

"Dalam erti kata lain, kehidupan lebih teratur berbanding sebelum PKP yang jadual terlalu padat," katanya.

Ditanya sejauh mana impak PKP dalam kerjayanya, Janna mengakui projek lakonan juga terjejas, namun masih bersyukur kerana tugas pengacaraan dan komitmen lain masih berjalan seperti biasa.

"Dari segi lakonan saya yakin semua pihak terjejas. Saya sangat berasa simpati atas nasib kru belakang tabir. Saya yakin ramai yang terkesan. Dari segi pengacaraan masih berjalan seperti biasa. Perniagaan produk Sephia dan White Fluffy pun masih berjalan seperti biasa.

"Kebanyakannya saya bekerja dari rumah saja. Ramai pelanggan memilih untuk mengiklankan produk melalui kempen media sosial," katanya.

Berkongsi mengenai sambutan hari raya Aidilfitri ini, Janna bersyukur dapat meraikan bersama keluarga tercinta di Kuala Lumpur.

"Lebih meriah untuk saya sebab pertama kali beraya bersama keluarga di sini. Kebiasaanya saya sendirian di pagi raya sebab tidak dapat balik ke kampung atas urusan kerja.

"Tahun ini dapat beraya dengan keluarga. Rasa puas hati sebab mereka tak dapat pulang ke kampung. Persiapan raya tahun ini lebih sederhana dan mungkin tidak menerima kunjungan kerana berhati-hati penularan wabak Covid-19.

"Raya tahun ini bukan masa untuk bergembira dan bersuka ria. Sebaliknya raya untuk kita bermunasabah dan mengutamakan orang yang lebih memerlukan," katanya.

Hormat permintaan keluarga

Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba saja timbul gosip mendakwa Janna dan kekasihnya yang juga model dan pelakon, Din Azan Schatzmann berkahwin di Selatan Thailand pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, Janna berkata, perkara itu ditangani dengan baik oleh kedua-dua pihak.

"Saya menghormati permintaan keluarga untuk tidak lagi bercakap mengenai isu ini. Saya pasti situasi ini agak janggal untuk dia dan keluarga. Tapi, alhamdulillah semua dapat diatas dengan baik," katanya.

Ditanya adakah berkemungkinan perkara itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang bersifat dengki, Janna akui sudah lali dengan gosip sebegitu.

"Sebagai figura awam saya sudah terbiasa dengan kontroversi. Saya ambil pendekatan tidak mengambil pusing tujuan sebenar pihak yang mereka cerita," katanya.

Menyentuh persiapan kahwin yang dikatakan bakal berlangsung tahun ini, Janna berkata, ia masih pada peringkat awal.

"Perancangan ada, tapi masih pada peringkat awal. Ditambah dengan keadaan sekarang, saya berasa belum masa sesuai untuk ke peringkat yang seterusnya. Lebih baik saya fokus dengan karier," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 6:00am
d