utama

Bayi 'kandas' di hotel

Oleh Agensi

KIEV: Akibat pandemik Covid-19, bayi yang dilahirkan ibu tumpang di Ukraine tidak dapat diserahkan kepada ibu bapa mereka.

Ini kerana kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmat ibu tumpang berasal dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan beberapa negara lain.

Sky News melaporkan keadaan itu berlaku kerana Ukraine melaksanakan dasar menutup pintu sempadan untuk rakyat asing bagi mengelak penularan Covid-19.

Sehingga kini, pandemik itu meragut lebih 300,000 nyawa di seluruh dunia.

Ketika ini, 51 bayi diletakkan di hotel di pinggir bandar Kiev dan menunggu untuk diambil ibu bapa masing-masing.

Ukraine hanya membenarkan ibu bapa warga asing masuk ke negara itu sekiranya menerima permintaan daripada kedutaan.

Seorang bapa bayi, Rafa Aires dari Sepanyol berkata, dia tiba di Ukraine untuk mengambil anaknya yang bernama Marta sebelum pelaksanaan perintah berkurung.

Bagaimanapun, dia dan anaknya tidak dapat pulang ke negara asal selepas semua penerbangan dibatalkan manakala isterinya Maria gagal terbang ke Ukraine kerana mempunyai komitmen lain.

"Setiap hari kami hanya dapat membuat panggilan video antara satu jam hingga satu setengah jam untuk melihat anak kami.

"Kakitangan perubatan dan jururawat di hotel berkenaan sangat menakjubkan. Mereka memudahkan kehidupan saya," katanya.

Undang-undang di Ukraine membenarkan khidmat ibu tumpang dengan setiap wanita terbabit menerima bayaran sehingga 14,000 pound sterling (kira-kira RM74,200) untuk setiap bayi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 7:00am
    d