utama

Kes Covid-19 baru di Kelantan satu tragedi

Oleh Siti Rohana Idris

POLIS menunggu arahan dari kerajaan Kelantan untuk sebarang tindakan selanjutnya berhubung kemunculan semula kes Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejadian itu adalah satu tragedi memandangkan Kelantan sudah lebih sebulan berstatus zon hijau dan kini secara automatik bertukar kepada kuning.

"Ini adalah satu tragedi di Kelantan dan apa yang kita tahu seorang pembawa boleh menjangkiti 30 orang yang lain.

"Untuk periksa seorang demi seorang individu yang merentas negeri sudah pasti satu beban yang perlu ditanggung oleh kami sedangkan wabak itu dibawa dari negeri lain.

"Bagaimanapun kami akan mengadakan mesyuarat dan terpulang kepada kerajaan (negeri) untuk memutuskan sebarang perubahan tindakan dalam penguatkuasaan pemantauan nanti," katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya Bukit Yong, Pasir Puteh, hari ini.

Kelantan kembali mencatatkan kes COVID-19 dengan kes terbaru dipercayai di Kuala Krai membabitkan wanita mengandung dan perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin.

Mangsa (pesakit) yang menetap di Lembah Klang balik ke negeri ini apabila sempadan negeri dibuka baru-baru ini dan secara tidak rasmi dikatakan mangsa positif serta sedang dirawat di hospital.

Berita berkaitan

Wanita mengandung bawa pulang Covid-19 ke Kelantan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 3:11pm
    d