utama

Tertimbus ketika membetulkan liang lahad

Oleh Roselan Ab Malek

IBARAT mati hidup semula, begitulah yang dirasai dua lelaki yang tertimbus ketika membetulkan liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Jalan Jerantut-Benta, Jerantut, pagi semalam.

Mohd Nor Aizam Ghazali @ Jamaluddin, 37, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama rakan membetulkan liang lahad apabila secara tiba-tiba tanah menimbus keseluruhan tubuh hingga kepala.

"Seperti biasa, bila ada penduduk yang meninggal, saya mendapat arahan dari ketua kampung untuk menggali kubur.

"Pada 9 pagi semalam, saya dan rakan terus ke kubur itu untuk menggali seperti biasa. Tetapi tugas mengorek dilakukan oleh jengkaut dan kami cuma membetulkan liang lahad.

"Tiba-tiba tanah timbun di bahagian atas runtuh di atas kepala saya yang sedang membongkok dan juga kawan saya menyebabkan saya tertimbus sepenuhnya manakala rakan tertimbus hingga paras pinggang." katanya.

Dia ditemui ketika Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris menziarah ke rumahnya di Kampung Baru, hari ini.

Mohd Nor Aizam berkata, mereka bernasib baik ada rakan lain di situ yang membantu mengorek tanah dan menarik keluar dengan segera.

"Detik mencemaskan ini tidak akan dilupakan seumur hidup apabila tertimbus di dalam kubur yang sedang digali sendiri.

"Akibat kejadian ini, saya mengalami sesak nafas, kecederaan pada kaki dan leher manakala rakan hanya mengalami kecederaan ringan.

"Ini kali pertama kejadian begini berlaku kepada saya sepanjang sembilan tahun ini. Sebelum Ramadan saya ada bermimpi tertimbus begini dan menganggap ia adalah mainan tidur," katanya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan orang awam yang berada di lokasi dan dibawa ke Hospital Jerantut bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Seramai tujuh anggota dan seorang pegawai dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

"Setibanya di lokasi didapati mangsa telah berjaya diselamatkan orang awam. Pihak bomba kemudian membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi," katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 8:30pm
d