utama

Setan bawang buatmu

Oleh Agensi

BEIJING: Kecewa selepas teman lelakinya curang, seorang wanita menghantar satu tan bawang kepada lelaki itu untuk membalas dendam supaya dia menangis.

Portal Oddity Central melaporkan kejadian pelik itu mendapat perhatian media China apabila seorang wanita yang patah hati membalas dendam terhadap bekas teman lelaki dengan menghantar satu tan bawang di depan pintu rumah supaya lelaki itu menangis atas pengkhianatan cintanya.

Bagi kebanyakan pasangan muda di China, 20 Mei adalah hari istimewa yang disifatkan seperti Hari Valentine, tetapi bagi seorang wanita yang patah hati membuatnya lebih menderita.

Dikenali sebagai Miss Zhao dari Zibo di wilayah Shandong, wanita itu dilaporkan terbaca mesej cinta lelaki itu dengan wanita lain.

Tidak dapat mengatasi rasa sakit, dia memutuskan hubungan dan menangis tiga hari, bagaimanapun bekas teman lelakinya bersuka ria keluar dengan wanita lain menyebabkan dia bertambah marah.

Selepas mendengar bekas kekasihnya tidak menangis langsung atas perpisahan mereka, Zhao merancang membalas dendam dengan memesan 1,000 kilogram bawang secara dalam talian dan menghantar di depan pintu rumah lelaki itu.

Wanita itu turut meninggalkan pesanan, "Anda membuat saya menangis tiga hari, sekarang giliran anda."

Ketika bekas kekasihnya yang tidak tahu apa-apa pulang beberapa jam kemudian mendapati puluhan guni bawang tersusun di depan pintu rumahnya.

Malah, bau bawang turut tersebar ke seluruh bangunan pangsapuri seperti dilaporkan beberapa jirannya.

"Saya tidak tahu sama ada dia menangis atau tidak, tetapi saya pasti dia lemas dengan bau. Sekarang seluruh tempat berbau seperti bawang," kata penduduk.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 7:00am
d