utama

Rindu menyanyi

Oleh Norhayati Nordin

SEJAK pelbagai acara hiburan diberhentikan serta-merta akibat pandemik Covid-19 pada 18 Mac lalu, penyanyi Wani Syaz tidak lagi berulang-alik dari Batu Pahat, Johor ke Kuala Lumpur seperti kebiasaan.

Tiga bulan sudah berlalu, Wani, 22, berkata, dia kini memberi fokus sepenuhnya pada perniagaan restoran milik keluarga.

Menurut penyanyi lagu Pendusta Cinta itu, dia bersyukur apabila ada perniagaan sendiri.

"Sejak dahulu, perniagaan adalah sumber pendapatan utama saya sekeluarga. Pembabitan dalam nyanyian pula kerana minat dan menjadi pendapatan sampingan.

"Justeru, apabila penularan Covid-19 muncul tidak diduga, pada awalnya perniagaan terjejas juga. Namun, kini semuanya kembali stabil dan corak perniagaan pun ditukar.

"Walaupun operasi restoran masih ditutup, tetapi pelanggan boleh buat tempahan makanan mereka secara dalam talian atau pesanan menerusi WhatApps.

"Ini aktiviti harian saya sejak awal Ramadan lalu. Meskipun mulanya terkial-kial kerana baru mencuba, namun sekarang Alhamdulillah semua lancar," katanya.

Mengulas aktiviti nyanyiannya, Wani berkata, perasaan rindu untuk membuat persembahan tetap ada. Tetapi, dia akur keadaan semasa masih tidak mengizinkan.

"Bila difikirkan semula, memang sudah lama saya rehat menyanyi. Rindu juga nak jumpa rakan-rakan di Kuala Lumpur, namun demi keselamatan dan kesihatan lebih baik patuh saja pada arahan kerajaan.

"Apapun, pada Ahad ini sambutan Aidilfitri diraikan umat Islam. Saya masih terfikir mahu berkunjung ke rumah saudara-mara atau tidak walaupun jarak antara kediaman kami berdekatan.

"Terus terang ada sedikit dilema dalam hati ini kerana bimbang memikirkan Covid-19. Maklumlah, musuh yang kita tak nampak dan boleh menyerang pada bila-bila masa," katanya.

Lagu raya dan lagu baharu

Wani Syaz yang bernaung dengan syarikat rakaman FMC menjelaskan dia sepatutnya terbabit rakaman lagu raya terbaharu bersama beberapa penyanyi lain.

Namun, projek rakaman lagu raya itu tinggal kenangan.

Menurut Wani, dia sedih mengenangkan apa yang sudah dirancang sejak awal terbatal sekelip mata.

"Banyak aktiviti seni saya tergendala di saat akhir. Jadi, untuk lagu baru rasanya memang tiada dan biar masa menentukan. Namun, saya masih ada lagu Gempita untuk dipromosi," katanya.

Apapun, Wani berkata, dia sangat berterima kasih dengan sokongan peminat pada kerjaya nyanyiannya yang turut dikenali dengan lagu Alhamdulillah dan Lepaskan duet bersama Juzztthin.

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 6:00am
d