utama

Disenangi ramai...

Oleh Lizam Ridzuan

PEMERGIAN ke rahmatullah pendakwah terkenal, Datuk Haji Ismail Kamus pada 8 Mei lalu diselubungi rasa sedih buat umat Islam negara ini.

Allahyarham terkenal dengan gaya penyampaian yang santai dan bersahaja dalam menyebarkan syiar Islam ,malah sering muncul di stesen televisyen seperti Forum Perdana Hal Ehwal Islam, program keagamaan di TV3 selain laman sosial Facebook serta YouTube.

Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu Selangor, Selangor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali.

Beliau kemudian meneruskan pengajian ke Ma'ahad Hisyamuddin, Klang dan berguru dengan ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum memperoleh ijazah sarjana muda dengan kepujian pada 1976.

Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Allahyarham pernah menjadi guru, pegawai penyelidik, pegawai dakwah selain bertugas selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan di Pusat Islam.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Allahyarham pernah terbabit dengan politik dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia pada 1999 sehingga 2004.

Selain itu, Allahyarham juga aktif menghasilkan buku keagamaan serta perubatan seperti Panduan Khusyuk Dalam Solat (2019), Solat Biar Sempurna (2018), Wahai Tuhan, Engkaulah Penyembuh: Doa, Jampi dan Amalan Dalam Perubatan Islam (2011) dan banyak lagi.

Penolong Mufti Bahagian Fatwa Negeri Selangor Ustaz Haji Daruddin Haji Taib @ Hasan berkata, beliau mengenali Allahyarham sejak menuntut di Kolej Islam Malaya (Kim).

"Kami juga rakan sekelas ketika di tingkatan enam (syariah dan ekonomi) dan Datuk Ismail Kamus sememangnya terserlah dalam bidang pelajaran terutama syariah dan bahasa Arab," katanya yang sudah dua tahun berkhidmat di Jabatan Mufti Selangor.

Persahabatan mereka bertambah rapat selepas melanjutkan pengajian ke UKM pada 1973, malah menjadi rakan serumah serta melakukan banyak aktiviti bersama.

"Ketika itulah kami mengenali Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang menjadi pensyarah di fakulti tempat Datuk Ismail dan saya mempelajari ilmu rawatan alternatif Islam namun saya tidak meneruskannya kerana bertukar ke Sabah untuk menjadi guru," tambahnya lagi.

Selain itu, menurut beliau, Allahyarham turut menghadiri majlis persatuan bekas pelajar (Alumni) Kolej Islam Klang seperti jamuan tahunan pada 2017 dan 2018.

Bagaimanapun, pada 2019, ia diadakan di Brunei dan Allahyarham tidak turut serta kerana kurang sihat.

"Kali terakhir kami bertemu ialah pada tahun lalu di rumah adik Allahyarham bagi menyambut Aidilfitri.

"Sepanjang perkenalan kami, saya melihat antara kelebihan utama Allahyarham ialah mampu menyampaikan sesuatu dari hati ke hati.

"Ia membuatkan ramai yang menyenanginya terutama dalam majlis-majlis ilmu yang disampaikan," katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 6:40am
d