utama

OK bunuh gajah

Oleh Agensi

Gaborone: Ketika negara lain berdepan dengan ancaman kepupusan gajah, lain pula situasi yang berlaku di Botswana, negara di selatan benua Afrika.

Terdapat lebih 130,000 hidupan itu sekali gus menjadikannya negara dengan populasi gajah terbesar di dunia.

Ia memaksa kerajaannya meluluskan lesen berburu untuk haiwan itu, pada tahun lalu, namun permit khas untuk tujuan itu hanya dikeluarkan pada awal tahun ini.

Antara lain kelulusan itu disebabkan peningkatan konflik antara manusia dan gajah apabila haiwan itu memasuki perkampungan sehingga ada kes yang berakhir dengan kehilangan nyawa manusia.

Selain itu, terdapat laporan daripada penduduk bahawa haiwan itu memusnahkan tanaman sehingga mereka mengalami kerugian.

Terkini, BBC melaporkan pada Februari lalu sebanyak tujuh permit berburu gajah dilelong dan ia membenarkan 10 gajah dibunuh hanya dalam persekitaran terkawal.

Hanya syarikat yang berdaftar di negara itu dibenarkan untuk membida permit berkenaan dan mereka perlu menyertakan deposit A$18,000 (kira-kira RM78,000).

Pihak berkuasa menetapkan kuota hanya 272 gajah boleh dibunuh dengan cara itu pada tahun ini.

Jurucakap agensi hidupan liar Botswana, Alice Mmolawa ketika menjawab soalan AFP berkata, langkah itu akan membantu menangani kes konflik manusia dan gajah.

Bagaimanapun, langkah pihak berkuasa meluluskan permit berburu gajah turut dikecam aktivis hidupan liar di dalam dan luar negara.

Ada yang mengkritik langkah itu hanya akan menyebabkan pelancong kelas elit yang menggemari safari hidupan liar tidak akan mengunjungi negara berkenaan.

Audrey Delsink yang juga pengarah hidupan liar bagi badan kebajikan yang giat dalam usaha melobi usaha pemuliharaan global, Humane Society International turut mempersoalkan dasar kerajaan dalam isu itu.

"Pemburuan bukannya langkah mitigasi yang berkesan untuk mengawal populasi gajah bagi jangka masa panjang," katanya ketika memberitahu AFP.

Sementara itu, Ross Harvey, ahli ekonomi alam sekitar Afrika Selatan pula memberitahu BBC: "Tiada bukti saintitik untuk menyokong bahawa populasi gajah (di Bostwana) adalah terlalu banyak.

"Kita tahu bahawa bilangan gajah di negara itu tidak meningkat dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, populasinya stabil. Sebaliknya, hidupan ini penting untuk ekologi Botswana," katanya.

Straits Times yang memetik laporan Bloomberg menerusi satu laporan tahun lalu menyatakan kebanyakan gajah di negara itu berada di timur laut negara berkenaan, iaitu kawasan padang rumput dan berpaya, namun ada kalanya akan merentasi sempadan dan memasuki Zambia, Zimbabwe dan Namibia.

Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 6:30am
d