utama

'Mana duit raya kami'

Oleh Firdaus Hashim

TAHAP 'stress' pemain pasukan Kedah kembali meningkat ke tahap maksimum selepas gagal menerima pembayaran gaji penuh seperti dijanjikan sebelum ini.

Menerusi luahan hati beberapa pemain secara 'berjemaah' di laman sosial masing-masing kelmarin, pemain skuad Helang Merah nyata masih menunggu baki RM1.5 juta yang dijanjikan pengurusan lama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Antaranya adalah tonggak import Kedah dari Singapura, Shakir Hamzah yang menyifatkan janji-janji KFA hanya 'indah khabar dari rupa' hingga menaikkan tahap kemarahannya.

"Ugh...indah khabar dari rupa. 'Stress level", katanya di Instagram story miliknya.

Nada kecewa turut dikongsi 'Messi' Kedah, Farhan Roslan yang mempertikaikan janji pengurusan pasukan.

"Kalau cakap betul-betulkan senang, tak adalah orang nak salah faham. Tunggu punya tunggu, 'last-last' habuk ja dapat," kata Farhan.

Tonggak pertahanan negara, Irfan Zakaria pula menyatakan luahan sama seperti Shakir apabila mendakwa KFA hanya menaburkan janji kosong sambil menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya.

Difahamkan, rata-rata pemain kini menanti baki gaji Februari yang tertunggak 40 peratus selepas sebelum ini menerima 60 peratus dengan 30 peratus iaitu RM500,000 diterima pada 14 Mei lalu.

Manakala gaji penuh bagi Mac dan April belum diterima biarpun sebelum ini Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris memaklumkan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Namun menerusi luahan itu, pemain dilihat tidak berpuas hati seolah-olah membayangkan tidak menerima baki bayaran, sekali gus menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan rasa kecewa.

Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 6:45am
d