utama

Warga emas positif Covid-19, Kluang zon kuning

Oleh Mohamed Farid Noh

WARGA emas berusia 86 tahun disahkan dijangkiti Covid-19 di Kluang semalam menjadikan daerah berkenaan dikategorikan berada dalam zon kuning.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, kes jangkitan Covid-19 yang terakhir di mukim Kluang dilaporkan pada 2 April lalu.

Menurutnya, lelaki berkenaan pada mulanya dimasukkan ke hospital selepas terbabit dalam kemalangan motosikal ditunggangnya.

"Bagaimanapun, memandangkan warga emas itu mempunyai gejala demam dan batuk, ujian saringan rutin Covid-19 dijalankan sebelum dia disahkan positif.

"Seramai 42 senarai kontak warga emas berkenaan sudah dikenal pasti dan diberikan perintah kuarantin selama 14 hari.

"Kesemua sampel ujian swab daripada kontak terbabit sudah diambil dan masih menunggu keputusan makmal.

"Dengan laporan kes itu, ia menjadikan mukim Kluang sebagai zon kuning," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, masyarakat di Kluang dan negeri ini diharap sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan.

"Elakkan berada di kawasan 3S iaitu kawasan sesak, sempit dan sembang rapat.

"Orang ramai juga disaran sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri khususnya pada musim perayaan ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri melaporkan seramai 2,779 individu sedang dikuarantin di 57 stesen kuarantin yang diwartakan di seluruh negeri terbabit.

"Daripada jumlah keseluruhan terbabit, seramai 2,771 individu dalam pemerhatian (PUS), manakala lapan lagi individu merupakan Pesakit Dalam Siasatan (PUI).

"Kebanyakan individu yang dikuarantin adalah rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 2:06pm
    d