utama

Ceroboh istana, bawa pistol mainan, pisau

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PEMANDU lori simen ditahan polis selepas menceroboh Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan merempuh pagar utama menggunakan kereta, hari ini.

Dalam kejadian 7.40 pagi itu, suspek berumur 30 tahun turut mengacukan pistol mainan serta pisau pemotong sayur ke arah polis yang cuba menahannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, suspek pada mulanya meminta kebenaran memasuki istana daripada pengawal yang menjaga pintu utama hadapan istana namun tidak dibenarkan sebelum merempuh pagar berkenaan dengan kereta.

Katanya, ketika tiba di anjung istana, lelaki itu keluar dari kereta sambil mengacukan pistol mainan serta sebilah pisau yang menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis yang tiba bagi memberikan bantuan.

"Ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selain mendakwa melakukan perbuatan itu selepas kononnya dititahkan untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Ujian psikiatri terhadap suspek masih belum dijalankan namun kemungkinan besar perbuatannya itu dilakukan kerana pengaruh dadah. Hanya kecederaan ringan iaitu calar kecil yang dialami anggota polis sewaktu pergelutan itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di Kuala Kangsar, hari ini.

Katanya lagi, suspek yang menetap di Gerik melanggar sejakatan jalan raya bersempena penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Gerik dalam perjalanan menuju ke istana.

Beliau berkata, empat kertas siasatan dibuka susulan kejadian iaitu mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan masing-masing kerana melakukan bencana pada pagar istana serta pencerobohan istana.

"Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 186 kanun yang samakerana menghalang tugas penjawat awam, di samping turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Katanya, permohonan reman suspek akan dibuat esok di Mahkamah Taiping.

Disiarkan pada: May 25, 2020 @ 2:28pm
d