utama

'Saya tak pernah puas...'

Oleh Firdaus Hashim

JIKA ada pemain bola sepak paling berjaya di Malaysia, sudah tentu ia milik Safawi Rasid apabila sejak 2018 penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memonopoli hampir 12 anugerah secara individu tidak kira di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Bermula dengan kejayaan muncul pemenang Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu terus membuktikan kehebatannya dengan mempertahankan trofi sama tahun lalu.

Malah, dia juga dinobatkan pemain terbaik final Piala Malaysia musim lalu selain turut tersenarai dalam kesebelasan utama terbaik Piala AFF dan pemain muda terbaik Asia Tenggara pada 2018.

Terbaharu, pemain terkenal dengan ledakan kaki kiri itu meraih pengiktirafan tertinggi dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) apabila diiktiraf sebagai pemenang gol lencongan terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Lebih mengujakan, kemenangan itu diraih selepas mengenepikan bekas pemain hebat Brazil dan Chelsea, Oscar yang hanya mampu menerima 1 peratus berbanding Safawi sebanyak 50 peratus undi dalam talian.

Bagaimanapun, kejayaan demi kejayaan diraih permata bola sepak negara itu masih belum memuaskan hatinya dan berazam untuk terus memperbaiki permainan sekali gus mencipta lebih banyak kejayaan di masa depan.

"Saya tak pernah puas dan masih dahagakan kejayaan. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh lagi dan apa yang saya dapat sekarang bukan penyebab untuk saya berhenti.

"Sebaliknya ia membakar semangat saya untuk terus melakukan sehabis mungkin tidak kira sama ada ketika menyarung jersi JDT mahupun skuad negara," kata Safawi kepada Arena Metro.

Selain anugerah peribadi, pencapaiannya bersama skuad Harimau Selatan juga hebat apabila sejak 2017 tidak pernah gagal menjulang mahkota kejuaraan.

Dia yang mula menyertai JDT dari pasukan T-Team pada penghujung 2016 sudah menjulang kejuaraan Liga Super sebanyak tiga kali (2017,2018, 2019), Piala Malaysia dua kali (2017, 2019) dan Piala Sumbangsih tiga kali (2018, 2019, 2020).

Mungkin satu-satunya trofi domestik yang belum didakap ialah Piala FA di mana kali terakhir JDT memenanginya pada 2016.

Manakala pencapaian di peringkat antarabangsa pula, dia membantu Malaysia muncul naib juara Piala AFF pada 2018 serta memenangi pingat perak pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia amat berterima kasih kepada penyokong yang banyak memberi sokongan dalam kariernya terutama penyokong setia JDT.

"Penyokong adalah kekuatan saya sejak bermain bola sepak. Tanpa mereka saya tidak akan ke mana-mana dan semua kemenangan ini hadiah untuk mereka yang banyak menyokong saya selama ini," katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 6:40am
d