utama

Tun M dipecat dari Bersatu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipecat berkuatkuasa serta merta.

Selain Mahathir, empat lagi yang dipecat adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Difahamkan, mereka dipecat atas alasan duduk di bangku pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Surat berkenaan ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Sementara itu, Bekas Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan surat pemecatan yang dikeluarkan Muhammad Suhaimi.

Namun, beliau mempertikaikan kuasa dimiliki Muhammad Suhaimi untuk mengeluarkan surat berkenaan.

Bersatu mula berpecah kepada dua kem selepas Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa parti berkenaan keluar Pakatan Harapan (PH) sebelum membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno dan PAS serta sebahagian Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Manakala, Mahathir bersama penyokong setianya terus bertegas untuk bersama dalam gabungan PH.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 7:54pm
d