utama

Azlee tabah hadapi dugaan

Oleh Norhayati Nordin

Baru nak rasa selesa mengatur langkah 'kali kedua' dalam kerjaya lakonan diceburi, pelakon drama Seadanya Aku dan Maaf Tak Indah iaitu Azlee Khairi harus akur dengan kenyataan, dia hanya mampu merancang.

Kemunculan pandemik Covid-19 secara tiba-tiba dan tak diduga 'menular' dalam negara, membuatkan Azlee, 30, pada mulanya tercari-cari arah serta apa langkah drastik yang perlu diambil segera.

Ujarnya, perasaan kecewa dan sedih memang tak dinafikan terbit dalam hati, namun perlu diingat wabak Covid-19 ini adalah dugaan besar kepada semua manusia. Dalam erti kata lain, banyak pihak dan sektor pekerjaan terjejas.

"Lebih dua bulan tidak bekerja, pernah juga berasa buntu bagaimana nak teruskan kehidupan dengan sumber kewangan terhad. Namun, di sebalik kesukaran itu tetap Allah SWT kurniakan nikmatnya.

"Saya kuatkan semangat cuba berniaga secara dalam talian (online) untuk produk jamu yang sesuai pada golongan lelaki. Biarpun nampak pelik apabila lelaki minum jamu, ia juga normal baharu.

"Untuk saya sendiri, dengan hasil minum jamu itu juga lebih menyerlahkan penampilan diri. Raut wajah, sentiasa nampak segar dan ketika bekerja pun saya sentiasa aktif termasuk tak cepat penat, katanya.

Menurut Azlee atau nama sebenar Azlee Khairi Zulah Hainee dengan berniaga secara kecil-kecilan itu diakui dapat membantu menampung sedikit sumber kewangannya untuk tidak tiris berterusan.

"Selain perbelanjaan untuk diri sendiri, saya ada ibu bapa dan keluarga yang perlu ditanggung. Dua adik saya masih lagi bersekolah, jadi sebagai abang kenalah bantu segala keperluan mereka.

"Apatah lagi, memang tanggungjawab saya selaku anak lelaki untuk menolong ibu bapa. Memandangkan komitmen saya kini pada diri sendiri sahaja, membantu keluarga turut menjadi keutamaan, katanya.

Menurut Azlee, apa pun yang pasti dia sudah rindu untuk kembali bekerja di lokasi penggambaran. Ditambah lagi, ada drama dibintanginya berjudul Derhaka Cinta Jebat ditangguhkan penggambaran serta merta berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan pada 18 Mac lalu.

Seronok beraya dengan keluarga

Di kala kebanyakan 'perantau' di ibu kota dan seluruh negara, diselubungi kesedihan kerana tidak berpeluang meraikan Aidilfitri di kampung bersama ibu bapa tersayang, Azlee pula berasakan dia bertuah.

Katanya, dia bernasib baik kerana ibu bapa dan adiknya sempat datang ke Kuala Lumpur sebelum PKP dilaksana. Katanya, kedatangan keluarga dari Perak kerana cuti persekolahan.

"Saya mengajak mereka (keluarga) datang ke rumah kerana tidak berkesempatan nak balik kampung. Saya sibuk 'shooting' ketika itu dan Alhamdulillah, pelawaan tidak ditolak dan ibu bapa bersetuju.

"Baru beberapa hari mereka tiba, kerajaan umum PKP dan ibu bapa bersama adik-adik terkandas di rumah saya. Maka, syukur pada Allah dapatlah saya berpuasa Ramadan dan meraikan Aidilfitri baru-baru ini dengan mereka semua, katanya.

Menurut Azlee, dia dan keluarga memilih tema warna biru untuk Aidilfitri kali ini. Ujarnya, walau pun hanya beraya di rumah dan tidak menerima kunjungan tetamu, dia seronok dapat beraya dengan keluarga tercinta.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 6:00am
d