utama

Perkukuh industri perikanan [METROTV]

Oleh KAFE AHAD

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang ditubuhkan pada 1971 memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan ikan dan hasil laut di negara ini mencukupi.

Banyak perubahan dilakukan agensi ini bagi memastikan fungsinya kekal releven dan lebih berdaya saing.

LKIM turut menerima perubahan digital dengan menggunakan platform e-dagang sebagai strategi pemasaran bagi memperluaskan lagi pasaran produk agensi berkenaan.

Ikuti wawancara Pengerusi LKIM, DATUK SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL bersama wartawan NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN, juruvideo, MUHAMAD ALLYME MOHD IZAM dan jurugambar, SAIFULLIZAN TAMADI bagi berkongsi perkembangan terbaharu LKIM.

Apakah pembaharuan yang akan dilakukan bagi memperkasakan LKIM?

LKIM menggariskan Hala Tuju Strategik bagi tahun 2019 hingga 2020.

Ia membabitkan lima hala tuju utama, 18 strategi dan 64 pelan tindakan yang merangkumi perancangan menyeluruh dalam usaha menjadikan LKIM sebagai peneraju yang meliputi pengeluaran, kemudahan pendaratan, pemasaran ikan, pemprosesan produk berasaskan hasil laut, mempelbagaikan projek ekonomi persatuan nelayan dan pembangunan kapasiti nelayan.

Lima hala tuju utama itu ialah:

• Mentransformasi kompleks LKIM dan memperkukuhkan industri asas perikanan ke arah mewujudkan Zon Perikanan Bersepadu.

• Memperkukuhkan rantaian pemasaran ikan dalam usaha menjamin kestabilan bekalan dan harga.

• Memperkasa persatuan nelayan berteraskan pembangunan kluster ekonomi (enam kluster ekonomi).

• Meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan nelayan dengan penekanan kepada program sosio ekonomi.

• Menambah baik sistem penyampaian perkidmatan, modal insan dan tadbir urus.

Antara usaha LKIM adalah menjadikan persatuan nelayan sebagai perintis dalam industri perikanan khususnya dalam bidang pemasaran ikan.

LKIM memperkenalkan portal nekmatbiz.com.my sebagai platform penjualan hasil laut dan produk berasaskan ikan secara dalam talian dan bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang iaitu Shopee.

Inisiatif ini sebagai salah satu usaha mengurangkan pembabitan orang tengah dalam pemasaran ikan.

Saya ingin berkongsi kejayaan LKIM meraih RM15,633,366 jualan dan pemasaran ikan di Pasar Nelayan, di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC), jualan secara dalam talian dan pembayaran tunai semasa serahan (COD) di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa dari 18 Mac sehingga 28 Mei lalu dengan nilainya 1,418.78 tan metrik berjaya dipasarkan sendiri melalui persatuan nelayan.

Selain pemasaran dan logistik, persatuan nelayan juga bergerak aktif melaksanakan beberapa projek ekonomi antaranya ternakan akuakultur, agro pelancongan, pemprosesan hasil perikanan dan tangkapan ikan.

Selain itu, LKIM sentiasa prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan nelayan. Terbaharu, LKIM bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menjamin keselamatan nelayan di seluruh negara.

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaaan Sendiri (SKSPS) bertujuan memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) termasuk nelayan.

Bermula 1 Januari 2020, perlindungan SKSPS diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang mana termasuk sektor perikanan.

Caruman ini membabitkan 35,000 nelayan yang layak bagi memastikan nelayan mendapat jaminan sekiranya berlaku sebarang musibah menyebabkan mereka tidak lagi boleh menangkap ikan.

Penggantian Caruman Insurans Nelayan Berkelompok LKIM kepada SKSPS di bawah Perkeso akan dilaksanakan bermula pertengahan Ogos 2020.

LKIM menyasarkan semua individu yang terbabit dengan pekerjaan dalam sektor perikanan, diminta untuk membuat caruman di Perkeso di bawah Akta 789.

Skim ini melindungi orang berinsurans bekerja sendiri (OBSS) yang disebabkan oleh suatu kemalangan atau penyakit pekerjaan berakibat daripada dan semasa menjalankan aktiviti pekerjaannya sendiri serta termasuk perjalanan atau balik kerja.

Cadangan caruman ialah RM157.20 setahun iaitu RM13.10 sebulan dan 43 sen sehari bagi semua nelayan LKIM yang menerima elaun sara hidup nelayan.

   Pemotongan caruman ini dilaksanakan secara terus melalui Sistem Program Insentif Nelayan (FIP).

Adakah bekalan ikan dan hasil laut mencukupi pada musim perayaan dan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa?

Secara umumnya, bekalan ikan dan hasil laut di negara kita masih mencukupi dan konsisten bagi memenuhi keperluan rakyat.

Ini kerana jumlah pendaratan ikan marin di Kompleks Pendaratan Ikan LKIM dan jeti pendaratan yang direkodkan LKIM secara puratanya ialah 1,400 tan metrik sehari.

Sepanjang 72 hari PKP berkuatkuasa bermula 18 Mac sehingga 28 Mei lalu, 48 Kompleks Pendaratan Ikan LKIM seluruh negara mencatatkan pendaratan keseluruhan berjumlah 48,851 tan metrik dengan nilai RM171,268,989.

Secara keseluruhannya, purata bekalan ikan negara (table fish) adalah 2,400 tan metrik berbanding permintaan rakyat yang dianggarkan 2,000 tan metrik sehari.

Stok bekalan ikan pula iaitu 185,000 tan metrik dalam pasaran berbanding keperluan 155,000 tan metrik sebulan.

Ia menunjukkan bekalan ikan di negara ini sentiasa mencukupi untuk memenuhi permintaan yang tinggi pada musim perayaan dan sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

LKIM turut terbabit secara langsung dalam membekal ikan segar beku QFISH bagi menampung permintaan ikan dalam negara.

Sebagai contoh pada perayaan Aidilfitri lalu, terdapat sebanyak 119.5 tan metrik stok bekalan ikan segar beku QFISH di seluruh negara.

Bagaimana sambutan inisiatif jualan ikan secara terus ke rumah melalui pembayaran tunai semasa serahan (COD) sewaktu PKP berkuat kuasa?

Pembayaran COD yang dilaksanakan oleh persatuan nelayan sememangnya menggalakkan dan berkesan serta mendapat sambutan daripada pengguna.

LKIM mengambil inisiatif supaya persatuan nelayan mengubah strategi jualan dan pemasaran ikan menggunakan kaedah COD iaitu pembayaran selepas menerima produk.

Antara jenis ikan yang mendapat permintaan tinggi ialah ikan segar seperti kembung, bawal, selar, tenggiri, kerisi, cencaru, senangin selain udang, sotong dan ketam.

Pembekalan secara COD bergantung kepada hasil tangkapan yang didaratkan nelayan di Kompleks LKIM pada hari berkenaan.

Sebanyak 44 persatuan nelayan di seluruh negara menjalankan urusan COD sepanjang tempoh PKP bagi memudahkan pembekalan ikan dan hasil laut secara terus kepada pengguna.

Kaedah COD mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat dan LKIM akan terus memastikan pengguna mendapat bekalan ikan serta sumber protein yang mencukupi sepanjang PKP dikuatkuasakan.

LKIM melalui persatuan nelayan berjaya meraih pendapatan berjumlah RM1,722,922.43 dengan kuantiti kendalian 156 tan metrik jualan secara COD.

Usaha ini seharusnya menjadi kebanggaan kerana persatuan nelayan mengambil inisiatif memasarkan sendiri ikan secara terus kepada pengguna.

Bagaimana memastikan inisiatif menjual ikan segar menggunakan platform e-dagang seperti Shopee kekal mendapat sambutan selepas PKPB ditamatkan?

Pergerakan yang terhad semasa PKP menyebabkan ramai pengguna memilih untuk membeli barangan keperluan harian termasuk produk perikanan, pertanian dan bahan makanan secara atas talian atau e-dagang.

Berdasarkan perkembangan semasa ini, LKIM melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengambil inisiatif menjalankan kerjasama dengan penyedia platform e-dagang iaitu Shopee untuk memasarkan hasil laut segar, ikan segar beku QFISH dan produk proses.

Hasil jualan pula mendapat penilaian amat positif dan tahap kepopularan (rating) lima bintang daripada pelanggan yang membeli produk berkenaan.

Berdasarkan perubahan normal baharu masyarakat, LKIM percaya pemasaran ikan secara atas talian atau e-dagang akan terus berterusan walaupun tempoh PKPB ditamatkan.

Menerusi galakan pasaran seperti promosi diskaun dan sebagainya, pengguna akan terus memilih platform e-dagang untuk membeli hasil segar secara atas talian.

Apakah jenis bantuan disediakan untuk membela nasib nelayan?

Secara ringkasnya, bantuan yang disediakan LKIM untuk membela nasib nelayan memfokuskan kepada:

Dalam usaha LKIM ingin meningkatkan kapisiti dan kecekapan nelayan, antara usaha dilakukan ialah menyediakan latihan kemahiran dan program pendidikan kepada belia dan anak nelayan.

Selain itu, LKIM juga meneruskan Skim Pinjaman Dana Nelayan. Skim pinjaman ini bertujuan menggalakkan nelayan untuk lebih berdikari, meningkatkan keupayaan bot sedia ada bagi penangkapan ikan yang lebih moden dan berteknologi, membeli bot, aplikasi dan peralatan baharu.

Juga sebagai pinjaman modal operasi serta modal pusingan pemasaran ikan untuk persatuan nelayan.

Ia turut berupaya mengurangkan kebergantungan dan pengaruh orang tengah dalam kehidupan nelayan.

Skim pinjaman yang diwujudkan di bawah program ini ialah:

• Skim Pinjaman Pembangunan Institusi Nelayan (SPIN)

• Skim Pinjaman Nelayan Komersial (SNEK)

• Skim Pinjaman Nelayan Enjin Dalam (SNED)

• Skim Pinjaman Nelayan Pantai (SNEP)

LKIM sedia maklum bahawa kos sara hidup dan pengoperasian tangkapan ikan meningkat. Pelaksanaan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan adalah untuk membantu menampung sebahagian kos operasi menangkap ikan yang ditanggung nelayan kesan kenaikan harga minyak di pasaran.

Sebanyak 53,012 permohonan e-diesel dan e-petrol diluluskan bagi memudahkan nelayan mendapat bekalan diesel dan petrol bersubsidi di 146 pusat jualan diesel serta 242 stesen jualan petrol bersubsidi di seluruh negara.

Selain itu, LKIM masih meneruskan bayaran insentif hasil tangkapan ikan (IHTI) kepada nelayan dengan peruntukan sebanyak RM142 juta setahun.

IHTI adalah insentif yang diberikan kepada pemilik vesel perikanan berdasarkan kuantiti pendaratan ikan yang disytiharkan.

Ia bertujuan memberi galakan kepada pemilik vesel perikanan untuk mendaratkan hasil perikanan di dalam negara.

Di samping itu, ia bagi mengawal dan memastikan minyak subsidi yang dibeli pemilik vesel perikanan hanya digunakan untuk aktiviti menangkap ikan melalui pengisytiharan hasil tangkapan.

Selain itu, LKIM masih meneruskan pemberian elaun sara hidup nelayan (ESHN) pada tahun ini sebanyak RM250 sebulan kepada nelayan.

Bayaran ini antara usaha kerajaan untuk membantu nelayan meringankan bebanan dalam menghadapi tekanan ekonomi disebabkan peringkatan kos sara hidup. Selain itu, ia juga bagi memastikan sektor industri perikanan kekal berdaya maju.

Pada 2019, sebanyak RM81,037,000 disalurkan kepada 34,000 nelayan di seluruh negara.

Selaras dengan peranan LKIM untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan nelayan, Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) dilaksanakan.

Tujuannya untuk membaik pulih, membina baharu dan mewujudkan penempatan semula nelayan yang lengkap bagi memastikan keselesaan serta kesejahteraan nelayan.

Projek ini adalah bantuan yang diberikan kepada nelayan berpendapatan rendah bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah.

Sebanyak RM459.9 juta peruntukan disalurkan terus kepada LKIM sebagai agensi peneraju sejak 2012 dan masih diteruskan hingga kini.

Selain itu, Skim insurans nelayan diperkenalkan pada 2012 yang lalu dan masih diteruskan sehingga kini bertujuan membela nasib keluarga nelayan dan sebagai persediaan kewangan luar jangka nelayan sekiranya berlaku kemalangan atau kematian.

Manfaat dan perlindungan diperoleh oleh nelayan yang mencarum insurans ini ialah sehingga RM155,000.

Selain itu, LKIM juga menyediakan tabung bantuan bencana alam. Tabung ini memberi bantuan kewangan segera kepada nelayan yang terbabit dengan kemalangan, kemusnahan atau kerosakan harta benda termasuk kehilangan nyawa bagi meringankan beban mangsa serta keluarga.

Manakala bantuan pengembangan ekonomi dan sokongan industri turut disalurkan kepada persatuan nelayan terbabit dalam projek pegeluaran hasil seperti tangkapan ikan, ternakan akuakutur, pemasaran ikan, pemprosesan serta agropelancongan.

Di samping itu, LKIM berperanan besar dalam menyediakan kemudahan kompleks pendaratan yang moden dan lengkap di seluruh negara untuk menyokong industri perikanan negara.

Pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia masih berlaku. Apakah usaha dilakukan LKIM bagi mengatasi masalah ini?

Nelayan tempatan melalui Kumpulan Keselamatan Nelayan (KESAN) sentiasa menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam membendung pencerobohan nelayan asing yang mengaut sumber negara.

Peranan kumpulan ini untuk meningkatkan keupayaan pasukan menjalankan aktiviti keselamatan di kawasan masing-masing dalam misi mencari dan menyelamat bagi kemalangan di laut yang membabitkan nelayan.

Selain itu, LKIM melalui KESAN bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi program e-Rakam iaitu penggunaan aplikasi kesedaran dan keselamatan komuniti maritim (K3M).

Aplikasi ini sebagai saluran komunikasi kepada agensi penguat kuasa dalam mengumpul maklumat lebih pantas untuk memastikan keselamatan di perairan negara terjamin.

LKIM juga mengadakan kerjasama dengan agensi penguat kuasa laut seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin.

LKIM sentiasa memainkan peranan aktif dalam isu pencerobohan dan salah satu agensi yang menjadi anggota jawatankuasa pencerobohan nelayan asing (Ops Naga).

Selain itu, LKIM turut membantu menyediakan kompleks dan jeti bagi menempatkan aset rampasan.

Kongsikan hasrat Datuk dalam menerajui LKIM dan mendepani industri perikanan negara.

Industri perikanan sangat penting kerana ia adalah sumber protein utama kepada rakyat di negara ini.

LKIM dipertanggungjawabkan memastikan bekalan ikan di negara ini sentiasa cukup dengan kualiti yang sepatutnya.

Selain itu, sebagai Pengerusi LKIM, saya bertanggungjawab untuk memastikan bekalan ikan yang berkualiti sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan negara.

Tumpuan perlu diberikan kepada empat perkara iaitu nelayan, sumber ikan di laut, kemudahan kepada nelayan (bot dan bantuan penangkapan ikan) serta pendaratan ikan bagi menjamin bekalan ikan mencukupi.

Selain itu, perkara lain yang perlu diambil kira LKIM ialah bagaimana memastikan kesemua ikan mendarat di kompleks LKIM.

Saya melihat isu paling besar dihadapi LKIM ialah pemasaran ikan. Saya mahu menanganinya supaya pemasaran ikan di Malaysia dapat dikawal dan nelayan mendapat harga berpatutan apabila menjual hasil tangkapan itu

LKIM dicadangkan untuk memainkan peranan sebagai pembeli utama ikan nelayan.

Oleh itu, saya juga ingin memberikan cadangan agar LKIM memiliki kapasiti mencukupi untuk membeli semua ikan yang dibawa naik ke daratan oleh nelayan.

Ikan ini dijual secara terus kepada LKIM sebagai ikan segar dan selebihnya dibekukan sebagai ikan segar beku yang dinamakan QFISH.

Melalui cara ini, nelayan tidak berhadapan dengan masalah tiada pembeli ikan yang bersesuaian dan menawarkan harga berpatutan.

Pada masa yang sama, saya dan pengurusan LKIM akan meneliti kaedah untuk memulakan pengawalan rantaian pemasaran ikan di Malaysia.

Sekiranya usaha ini berjaya (mengawal rantaian pemasaran ikan), maka LKIM dapat mengatasi peranan orang tengah yang mengawal bekalan dan menentukan harga ikan hinggakan nelayan tidak mendapat harga sepatutnya.

Ini tugas utama saya sebagai pengerusi LKIM untuk memastikan agensi itu menjadi peraju utama bukan sahaja penangkapan tetapi juga sebagai pemasaran yang mengawal pasaran.

Cara mengawal pemasaran ikan ialah dengan mempunyai stok bekalan yang mencukupi.

Sekali lagi, saya ingin mencadangkan LKIM supaya membina bilik sejuk yang mencukupi untuk menyimpan ikan yang dibeli apabila ada lebihan yang tidak dapat dijual.

Melalui cara ini, LKIM dapat mengawal pasaran dan harga ikan di pasaran.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 9:00am
d