utama

Pak Ishak meninggal dunia [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

"KETIKA hayatnya, arwah suami pernah beritahu jika hajatnya dapat membawa saya, anak-anak dan cucu berpindah ke rumah yang lebih selesa, itu sudah cukup bermakna buatnya sebelum dia meninggal dunia.

"Sekarang semuanya sudah tertunai namun dia hanya sempat tinggal di rumah ini selama lebih sebulan sebelum dia pergi buat selamanya," kata Jamaliah Rejab, 54.

Menurut Jamaliah, suaminya, Ishak Darus, 77, atau Pak Ishak meninggal dunia 8.30 pagi tadi di rumah mereka di Lorong Fajar, Taman Uda, Jalan Sultanah, hari ini.

Katanya, arwah yang menghidap angin ahmar tidak berselera makan sejak beberapa hari lalu dan hanya tidur sepanjang hari sejak mereka berpindah ke rumah baru itu.

"Saya rasa kehilangan sebab kami pernah hidup susah senang bersama di rumah lama di Lorong Gedebang, Jalan Langgar sebelum ini.

"Kami hanya tahu dia sudah tiada apabila makcik yang datang cuci luka di kaki saya (akibat kencing manis) pagi tadi beritahu, arwah suami dah meninggal apabila tiada tindak balas dan saya ingatkan dia tidur, " katanya ketika ditemui di rumahnya di Alor Setar, hari ini.

Menurutnya lagi, arwah yang tidak dapat bercakap akibat angin ahmar hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan malah suaranya juga tidak jelas.

Katanya, kira-kira 7 pagi tadi, dia menunjukkan dadanya sakit dengan menggosok tangan pada dadanya kepada anak lelaki sulung mereka.

"Anak saya sapu minyak pada dadanya sebelum dia hendak keluar bekerja dan lepas itu dia tidur.

"Tak lama kemudian baru saya dimaklumkan arwah dah tak ada," katanya.

Kisah Pak Ishak dan keluarganya pernah mendapat liputan meluas bulan lalu apabila pendakwah bebas, Ustaz Ebit Liew datang memujuk dan membantunya berpindah ke rumah baru dari rumah lamanya yang serba daif, April lalu.

Pak Ishak mempunyai isteri yang tidak bekerja dan 10 anak iaitu tiga lelaki dan tujuh perempuan masing-masing berusia 33 hingga 17 tahun.

Lapan daripada 10 anak Pak Ishak tinggal bersamanya di rumah lama di Lorong Gedebang yang menjadikan keseluruhan isi rumah yang menetap di situ seramai 20 orang.

Sementara itu, Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Mustafa Kamil berkata, pihaknya bersama penduduk kawasan itu akan berusaha membantu membuat kutipan kecil bagi menguruskan pengebumian arwah Pak Ishak.

Beliau berkata, jenazah Pak Ishak dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda lepas solat Asar petang ini.

Jawatankuasa Peduli Rakyat penduduk taman itu, Nasir Ismail berkata, beliau sudah menghubungi Ustaz Ebit Liew untuk memaklumkan berita kematian Pak Ishak pagi tadi.

Katanya, pihaknya juga akan membantu menguruskan keluarga arwah sejurus urusan pengebumian selesai petang ini.

"Kami tak bantu banyak, cuma yang perlu saja malah sejak mereka berpindah sini kami banyak membantu menguruskan mereka," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Persiapan Aidilfitri kami seadanya' - Isteri Pak Ishak
  • 'Ustaz Ebit Lew tak bersalah'
  • Buka lembaran baru Ramadan ini [METROTV]
  • 'Maafkan saya, saya cuma mahu membantu' - Ebit Lew
  • 'Terima kasih Ustaz Ebit'
  • Tak pernah pinggir keluarga Pak Ishak
  • Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 1:01pm
    d