utama

Gemuruh ditawar watak utama

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

MEMULAKAN langkah dalam bidang seni sebagai penyanyi pada usia 15 tahun menerusi single Lepaskan hasil ciptaan Ajai.

Bagaimanapun, Wanna Ali, 23, kini lebih menyerlah dalam bidang lakonan dan terbaharu menerusi drama Rindu Yang Terindah yang baru berakhir tayangannya di TV3.

Wanna berkata, karier nyanyian dan lakonannya bermula serentak pada usia 15 tahun, namun selepas itu dia berehat seketika untuk fokus pada pelajaran.

"Alhamdulillah saya berjaya raih 7A 2B dan selepas itu sambung belajar di Universiti Nottingham Malaysia dalam jurusan Pengurusan Perniagaan.

"Selepas tamat belajar pada usia 20 tahun, barulah saya aktif berlakon semula. Selain itu saya juga banyak buat iklan komersial.

"Untuk komersial, saya banyak dapat karakter utama juga. Nampak jelas karier saya semakin sukses dan perkembangan ini amat menggembirakan," katanya.

Wanna kini tampil menerusi filem terbaharu berjudul Ada Apa Dengan Dosa (AADD) menggandingkannya dengan Muhammad Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz.

Filem arahan Rahila Ali yang diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records ini akan ditayangkan menerusi saluran Astro First bermula 4 Jun ini.

"Penggambaran filem ini berlangsung pada 2018. Rahila sebagai pengarah, nak saya bawa watak utama kerana karakternya segar sebagai gadis berusia 19 tahun.

"Ini filem pertama yang menampilkan saya sebagai watak utama. Filem lain lakonan saya dengan Pencil Pictures & Records sebelum ini ialah Aku Ada Kau Ada dan Tokan.

"Saya juga membintangi filem Coast Guard yang belum ditayangkan," katanya.

Wanna mengakui agak gemuruh apabila pertama kali ditawarkan memegang watak utama.

"Ini adalah filem dan bukan drama. Perasaan gemuruhnya lain macam kerana saya takut nak bawakan watak ini dan tunggu reaksi penonton.

"Apapun saya sudah buat yang terbaik. Malah terlebih dahulu saya ambil kelas lakonan dengan cikgu Fatimah Abu Bakar sebelum masuk set penggambaran.

"Saya banyak dapat ilmu daripada beliau. Cara mengajar sangat berbeza dan saya sukakannya. Dia mengajar dengan lembut dan selepas itu kita kena buat sendiri apa yang patut dilakukan," katanya.

Ada Apa Dengan Dosa turut menampilkan Fasha Sandha, Adam Corrie, Ashraf Muslim dan ramai lagi.

"Filem ini berkonsepkan dakwah. Sepatutnya ia akan ditayangkan di pawagam. Tapi kita belum tahu bila pawagam akan dibuka.

"Memandangkan ia sebuah filem yang bagus dengan tema dakwah, ia patut ditayangkan kepada masyarakat.

"Filem ini sangat berkualiti dan tayangan di Astro First dirasakan bertepatan kerana kebanyakan kita ada saluran Astro di rumah," katanya.

Strategi baharu

Bagi Wanna, ia satu strategi yang bagus memandangkan masyarakat masih paranoid untuk pergi ke pawagam.

"Inilah antara sebab filem ini disiarkan di Astro First. Cuma genre drama mungkin agak sukar nak bersaing dengan genre komedi yang disiarkan di platform sama.

"Cuma bagi saya, ini adalah filem yang sangat bagus. Idea yang bijak dan segar serta belum pernah ada dalam mana-mana filem.

"Ia berdasarkan kisah benar. Individu yang terbabit dalam cerita ini menetap di Wales dan penggambaran turut dibuat di sana dan Malaysia," katanya.

Wanna mengakui, kematangan usia menyaksikan dia mencuba pelbagai watak sehingga berjaya mendapatkan karakter yang selesa.

"Saya pernah bawa watak antagonis sehingga orang meluat dengan saya. Bangga juga kerana karakter saya sampai dan orang ingat.

"Saya sering berikan yang terbaik, tapi setiap peminat ada pandangan masing-masing. Saya terbuka dengan setiap pandangan kerana ada banyak lagi yang saya nak belajar.

"Saya tengok diri saya dalam skrin ketika sesi 'dubbing' dan berkata sebenarnya saya boleh buat lebih baik lagi dan berjanji akan perbaiki kekurangan yang ada," katanya.

Wanna juga mengakui semakin selesa dengan kamera dan tidak pernah kontrol 'cantik' kerana ia boleh membataskan lakonannya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 6:00am
d