utama

Covid-19: 38 kes baharu termasuk 26 import [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad; Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi

TERDAPAT pertambahan 51 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 terus meningkat kepada 6,404 kes dengan kadar kesembuhan 81.51 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 38 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 7,857 kes positif keseluruhan.

Beliau berkata, 38 kes baharu dilaporkan itu membabitkan 26 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan dikuarantin sebaik tiba di negara ini.

Katanya, daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah bukan warganegara Malaysia manakala enam kes lagi membabitkan warganegara Malaysia.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,338 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Sehingga kini, lapan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 115 kes iaitu 1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 5:12pm
    d