utama

Hadapi cabaran baharu

Oleh Saipul Adli Mohamad

KES import luar negara, penularan dalam kalangan bukan warga Malaysia di depoh tahanan imigresen dan pekerja warga asing daripada pelbagai sektor di dalam komuniti antara faktor peningkatan kes harian Covid-19 dan menjangkaui unjuran ramalan sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes ini dapat dilihat secara ketara mulai 29 April lalu.

Ini bermakna, katanya, negara kini berdepan dengan satu cabaran baharu yang perlu ditangani bersama, membabitkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan bukan warga Malaysia.

"Namun golongan bukan warganegara tidak harus disisih dan tidak harus distigmakan oleh rakyat Malaysia, malah kita perlu membantu mereka untuk membantu mengurangkan penularan Covid-19 di negara kita," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di sini, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, saban tahun, pergaulan dan percampuran rakyat tempatan dengan bukan warga Malaysia sememangnya terhad namun kehadiran mereka sebagai pekerja daripada pelbagai sektor turut membantu memperkasa ekonomi negara.

"Sewajarnya, kita perlu mengenal pasti dan mencari cara penyelesaian bagi menangani isu penularan Covid-19 dalam kalangan mereka ini.

"Oleh itu, pendekatan seluruh jentera kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan juga masyarakat adalah diperlukan agar isu ini dapat ditangani secara menyeluruh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 6:45am
    d