utama

'Terima kasih Ya Allah' [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

"TERIMA kasih Ya Allah, terima kasih Ya Allah."

Hanya itu yang keluar dari mulut seorang penjaja ketika sujud syukur di tepi kendara saji miliknya selepas hasrat untuk mendapatkan lesen perniagaan sejak 35 tahun lalu, tertunai hari ini.

Lebih manis, lesen berkenaan diserahkan sendiri Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa di lot parkir Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara pada 8 pagi, hari ini.

Minah Awang atau mesra dikenali dengan Che Nah berkata, sejak 35 tahun lalu dia sering turun naik pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Katanya, pelbagai alasan termasuk lesen dibekukan tidak mematahkan semangatnya untuk terus memohon.

Malah, dia tidak menyangka kunjungan Menteri Wilayah hari ini membuka ruang untuknya berniaga secara sah.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa kerana membantu mendapatkan lesen ini. Ia hadiah istimewa kepada saya," katanya yang sebak dan mengalirkan air mata selepas menerima lesen berkenaan.

Sementara itu Annuar berkata, pihaknya ingin menjadikan kegigihan Che Nah yang berniaga kuih muih, nasi dagang dan nasi kerabu sebagai contoh kepada orang lain untuk mencari rezeki di sebalik kesusahan hidup dialami.

"Kita bagi bukan pada Che Nah seorang, ramai lagi. Saya akan buat pengumuman nanti berapa tempat yang kita akan benarkan seperti yang saya katakan ada 103 lot di Berjaya Times Square," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 11:10am
d