utama

Penyanyi 1990-an, Izzaka meninggal dunia

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI yang popular dengan lagu Bunga Dedap pada 1990-an, Izzaka, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, jam 11.40 malam tadi akibat jangkitan kuman pada buah pinggang.

Izzaka atau nama sebenarnya Mohd Zakaria Yaacob yang turut menghidap kencing manis, lelah dan darah tinggi dimasukkan ke hospital sehari sebelum Aidilfitri pada 23 Mei lalu kerana mengalami sesak nafas.

Bekas isterinya, Hazana Mohamad Zabandi, 47, berkata, Izzaka sering berhubung dengan anak tunggal mereka, Mohd Amirul Hafiz, 22, yang kini menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Pada hari Jumaat iaitu dua hari sebelum Aidilfitri, arwah meminta Amirul yang ketika itu baru pulang dari UMT dan menjalani kuarantin untuk bersahur bersamanya. Tengah hari esoknya, Amirul beritahu ayahnya mengadu badannya sejuk-sejuk.

"Saya segera menghubunginya dan dia jawab dalam keadaan nafas yang agak sesak. Malam itu saya melawatnya dan mendapati dia dalam keadaan separuh sedar, lalu terus membawanya ke hospital. Bacaan gula dalam badannya ketika itu 21.9," katanya.

Hazana berkata, pada hari raya kedua Izzaka menghubunginya menerusi panggilan video memaklumkan dia lapar.

"Menantu maklumkan dia minta saya suapkan makanan. Saya pun pergi buat apa yang diminta kerana dia tiada sesiapa. Waktu itu doktor nak buat CT scan untuk tengok apa masalah di bahagian buah pinggangnya. Mereka dapati ada nanah dan masukkan tiub untuk sedut bagi mengelakkan ia merebak ke jantung," katanya.

Katanya, pada hari raya ketiga, Izzaka langsung tidak sedarkan diri. Keadaannya makin merosot dan terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Dia tak sedar selama enam hari sehingga hari raya kelapan kerana doktor bagi ubat tidur untuk dia berehat. Pada malam 1 Jun lalu dia kembali sedar dan buka mata. Keesokannya saya sekali lagi pergi melawatnya," katanya.

Hazana berkata, dia cuba berbual dengannya dan nampak mata Izzaka seakan bergerak-gerak dan ada air mata.

"Saya sampaikan salam saudara-mara serta rakan-rakan artis buatnya. Setiap kali berbual dengannya, saya menyanyikan lagunya dan nampak dia teresak-esak sedih. Doktor suruh saya teruskan kerana katanya dia sedang beri reaksi. Petang semalam, dia dipindahkan ke wad biasa," katanya.

Bagaimanapun, malam tadi doktor memaklumkan otaknya tidak lagi berfungsi.

Hazana berkahwin dengan Allahyarham pada 1997, namun berpisah tahun lalu.

Jenazah Izzaka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, Ipoh, hari ini.

Izzaka tampil mencuri perhatian peminat menerusi album Singkapkan Nur Suci dan Bunga Dedap. Dia juga pernah berduet dengan Ziana Zain menerusi lagu Hadirmu.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 1:17pm
d