utama

Kisah jutawan OKU

Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Yusmizal Dolah Aling

MEREKA dipandang sepi, penuh simpati, malah ada individu sanggup menghina disebabkan kecacatan dialami.

Namun, masyarakat mungkin tidak sedar dengan komitmen jitu, status orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang golongan berkenaan untuk membentuk empayar perniagaan hinggakan mampu bergelar jutawan.

Biarpun terpaksa bersaing dengan orang normal disebabkan kecacatan mereka, namun berbekalkan komitmen, semangat dan kebijaksanaan golongan OKU mencatur langkah, mereka mampu mengaut pendapatan bulanan hingga tujuh digit.

Kisah usahawan OKU yang bergelar jutawan hasil usaha tanpa mengenal erti lelah dan putus asa itu dikongsikan Harian Metro untuk dijadikan inspirasi bukan sahaja kepada golongan berkenaan sebaliknya seluruh rakyat Malaysia yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19. Ikuti perkongsian itu:-

#Kisah 1

Pengasas platformJamumall.com, Mohd Khairul Nizam Wahiddin, 31

Doktor pernah memaklumkan, dia mungkin hanya mampu hidup hingga berusia 19 tahun disebabkan penyakit urat sarat dialaminya gagal diubati.

Siapa sangka, Mohd Khairul yang lumpuh seluruh badan dan hanya mampu menggerakkan jarinya itu mampu membina empayar dan menjana jutaan ringgit setiap tahun selain menanam hasrat untuk menjana jualan hingga jutaan ringgit dalam tempoh lima tahun.

Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, ada waktu ketika, dia sememangnya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa dan adik beradiknya sahaja.

"Rasa rendah diri amat tinggi serta penghinaan diterima daripada orang sekeliling menjadikannya ibarat 'katak dalam tempurung.'

"Saya dibesarkan dalam keluarga yang susah dan sebagai anak sulung mula terdetik keinginan di hati untuk membantu mereka mengubah nasib keluarga," katanya.

Bermodalkan RM100, Mohd Khairul berkata, dia memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual isian semula prabayar.

"Berbekalkan semangat yang kuat dan pertolongan adik-beradik, saya membuka kedai minyak wangi (Istana Perfume).

"Daripada sinilah, saya mula mengumpul wang keuntungan dan kini mampu menggaji 20 kakitangan. Buat masa ini, saya hanya bekerja di belakang tabir sehingga ada dalam kalangan pekerja yang tidak pernah jumpa atau kenal saya.

"Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga saya berjaya bangkit dan buktikan kepada masyarakat iaitu dengan hanya tiga jari yang boleh bergerak dan akal dikurniakan Allah SWT, saya mampu berjaya serta mengubah nasib keluarga.ripada ujian apabila bisnes berkenaan mengalami kejatuhan pada 2016.

"Belajar daripada kesilapan dan mencari mentor ilmu pengurusan wang dan perniagaan, Mohd Khairul dibantu adiknya, Siti Suriani Wahiddin, 21 mengumpulkan sisa semangat menubuhkan Jamumall.com iaitu platform untuk jualan pelbagai produk.

"Sejak itu, saya mula mendapat keyakinan dan mula tampil di khalayak ramai dan berkongsi ilmu pengetahuan dengan usahawan yang baharu menceburi perniagaan.

"Kini saya sedar untuk berjaya dalam kehidupan, pekerjaan mahupun perniagaan bukan mudah. Tetapi atas keinginan kuat, kasih sayang keluarga, keberanian tinggi, suka belajar dan memperbaiki diri membawa saya ke tahap sekarang," katanya yang sering membuat siaran langsung di Facebook berkongsi ilmu perniagaan.

#Kisah 2

Pengasas D Strike Solution, Sukur Ibrahim, 36

Tanggung kerugian hingga puluhan ribu ringgit dan ditipu menjadi asam garam setiap usahawan sebelum mencapai kejayaan.

Sukur berkata, dia memulakan kariernya dalam bidang perniagaan dengan membuka kedai dobi namun hanya bertahan selama enam bulan.

"Saya kemudian jadi rakan kongsi kepada sebuah syarikat hiasan dalaman. Namun, ia juga tidak berjaya," katanya.

Menurutnya, biarpun dengan statusnya sebagai OKU, dia tidak terlepas daripada ditipu pelanggan.

"Tidak bayar, ditipu adalah asam garam ahli perniagaan. Saya tidak salahkan mereka sebaliknya terus tutup buku atau kisah lama. Apa yang saya lakukan adalah perbaiki diri dan buka buku baharu untuk pastikan impian saya tercapai," katanya yang juga pemenang Anugerah OKU Cemerlang Kebangsaan (Keusahawanan).

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan sempurna itu berkata, dia kemudian mengasaskan D Strike Solution iaitu penyedia perkhidmatan dan pembekal permaidani.

"Alhamdulillah, perniagaan ini berjaya dan membolehkan saya membantu keluarga malah masyarakat," katanya.

Ditanya resipi kejayaannya kini, Sukur berkata, dia mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi atas kegagalan sebelumnya sebagai panduan.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 8:00am
d