utama

Kuat semangat diri

Oleh Norhayati Nordin

SETIAP manusia sudah ditentukan perjalanan kehidupan mereka. Ada yang membesar dalam keluarga bahagia serta penuh dengan kasih sayang dan ada juga sebaliknya.

Namun, tidak semua orang kuat untuk berkongsi 'rahsia terbesar' dalam hidup mereka kepada masyarakat. Apatah lagi, jika dia melakar kerjaya sebagai selebriti.

Bagi pelakon Hafreez Adam, 30, perkongsiannya mendedahkan masalah 'jiwa kacau' pernah dihadapi bukan mahu membuka aib diri, sebaliknya sekadar menguatkan semangat positif diri.

"Kita semua ada pilihan walaupun membesar dalam keluarga yang tak lengkap. Cuma, keadaan saya ketika itu lebih memilih memendam rasa daripada berkongsi. Saya lebih suka duduk di rumah dan tidak suka bergaul.

"Selain itu, saya juga tidak mahu berkongsi masalah dihadapi dengan keluarga rapat seperti ibu atau adik-beradik lain. Pada hal, ibu saya sangat baik dan bertanggungjawab," katanya.

Menurut Hafreez, melihatkan kepayahan ibunya yang harus bekerja untuk membesarkan dia dan adik-beradik lain cukup membuatnya terkesan.

Katanya, sebagai anak lelaki tunggal dia mahu membantu ibunya selepas berpisah dengan bapa.

Menurutnya, isu keluarga dan masalah diri ditanggung ketika itu sangat berat. Apapun, sikap positif dalam diri sangat penting termasuk memiliki rakan di sekeliling yang sentiasa memberi semangat.

Berhadapan masalah dipendam sejak kanak-kanak hingga dewasa, Hafreez pernah mengelar pergelangan tangan kerana fikiran yang bercelaru.

"Ia tindakan paling teruk pernah saya lakukan. Tak tahu apa yang difikirkan dalam otak ketika itu sehingga cukup berani bertindak sedemikian. Namun, saya tahu keadaan emosi dan fikiran tidak stabil.

"Bagaimanapun, mujur saya tidak bertindak agresif. Cuma, kini semuanya semakin okey kerana sibuk bekerja. Kesibukan kerja sangat membantu dan saya pun amalkan kehidupan ceria dan gembira.

"Namun, saya tak nafikan sibuk di lokasi penggambaran dengan aktiviti lakonan dapat membantu saya lupa segala masalah kerana seronok bekerja. Di lokasi juga, ada ramai orang dan saya jadi lebih fokus," katanya.

Menurut Hafreez, kini dia mengguna pendekatan memastikan diri sentiasa positif dan di media sosial pun dia lebih selesa menerima pandangan yang menjurus ke arah perkongsian positif.

Katanya, jika ada komen negatif dia abaikan sahaja. Apatah lagi, individu yang meninggalkan komen berkenaan tidak pernah dikenali dan kebanyakan mereka menggunakan akaun palsu.

"Bagi mereka yang menyokong saya sebagai pengikut di media sosial, selalunya komen ditulis positif. Tidak ada yang berbaur provokasi hingga boleh menyebabkan tekanan dan mengganggu fikiran," katanya.

Apapun, Hafreez sangat berterima kasih kepada pengguna media sosial yang berhemah. Dia sangat mengalu-alukan perkongsian komen positif dan menjurus kepada pemangkin semangat.

Sibuk urus tempahan makanan

Selain berbakat dalam lakonan, Hafreez juga pakar memasak di dapur. Malah, hidangan istimewa air tangannya yang menjadi perhatian ialah char kuetiau.

Memandangkan penularan pandemik Covid-19 dan dia pun lama 'berehat' daripada lakonan, kini Hafreez dan rakan baiknya, Ariz Lufiaz bekerjasama mengambil tempahan makanan.

Mengikut perkongsian di Instagram, mereka juga berganding bahu menghantar sendiri tempahan makanan diambil itu kepada pelanggan. Malah, Hafreez juga menyediakan perkhidmatan 'review' berbayar dengan harga rendah.

Kongsinya di Instagram, kini dia makin gembira dan sibuk menguruskan tempahan makanan.

Katanya, penat memang sangat terasa tetapi seronok melayan tempahan makanan daripada pelanggan.

"Saya dan Ariz sekarang sibuk menguruskan tempahan makanan. Terima kasih kepada semua pembeli yang memberi sokongan. Semoga puas hati menikmati hidangan kami," katanya.

Hafreez yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-30 hari ini mengharapkan dia memperoleh kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.

Baginya, hidup dengan gembira perlu diteruskan untuk semangat positif.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 6:00am
d