utama

Covid-19: Rakyat Malaysia hembus nafas terakhir di Doha

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

SEORANG rakyat Malaysia disahkan meninggal dunia di Qatar hari ini, dipercayai akibat Covid-19.

Tengku Endut Tengku Jusoh berasal dari Besut, Terengganu disahkan meninggal dunia di Hamad Medical Centre, Doha, pada 11 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).

Perkara itu dikongsikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di akaun Facebook rasminya, lapor BH Online.

"Menerima berita mendukacitakan apabila rakyat Malaysia yang berasal dari Besut, Terengganu meninggal dunia di Qatar akibat Covid-19.

"Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tengku Endut Tengku Jusoh atas kehilangan ini.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya serta memberikan ketabahan kepada ahli keluarganya. Al-Fatihah," katanya.

Menurut Ahmad Samsuri, Allahyarham pernah bertugas di Malaysia Airlines sebelum menyertai Qatar Airways.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Qatar turut mengesahkan perkara terbabit menerusi akaun Facebook rasminya.

"Kehadapan seluruh rakyat Malaysia di Qatar, dukacita dimaklumkan bahawa pihak kedutaan dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa Allahyarham Tengku Endut Tengku Jusoh telah pulang ke rahmatullah pada hari ini, 10 Jun 2020, jam 11.05 pagi bertempat di Hamad Medical Centre, Doha, Qatar.

"Kedutaan Besar Malaysia mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan hati. Bersama-samalah kita doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 11:37pm
d