utama

6 hari cukup mencabar

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TELEFILEM 6 Hari yang bakal ditayangkan di saluran Astro Citra pada 13 Jun ini memberikan cabaran tersendiri buat pelakon terkenal, Lisa Surihani dan suaminya, Yusry Abdul Halim.

Tidak pernah dibuat orang apabila hampir keseluruhan jabatan dalam sebuah produksi drama digalas Yusry memandangkan penggambaran dibuat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Lisa yang juga pelakon utama telefilem itu, hasil karya arahan Yusry berkenaan memberi satu pengalaman baharu buat dirinya selain dapat menimba pelbagai ilmu.

"Apa yang dihasilkan ini boleh buat kita belajar. Sebenarnya, kalau ada pasukan produksi yang lengkap proses penggambaran memang lebih mudah.

"Tapi, dalam situasi sekarang terutama ketika projek itu dilaksanakan, kalau kita mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), insya-Allah boleh. Cuma, kita kena belajar terima perubahan baharu," katanya.

Dalam masa sama, Lisa mengakui watak yang diberikan padanya keluar dari zon selesa dirinya yang dianggap jauh berbeza daripada kebanyakan karakter yang pernah dilakonkan sebelum ini.

"Pada awalnya terdetik juga bolehkah saya bawakan watak ini. Bukan apa, ia lari daripada karakter saya. Watak ini memerlukan saya bercakap kasar iaitu kau dan aku.

"Ia memang berbeza dan secara peribadi anggap ia mencabar untuk saya. Bagi saya, dengan keadaan yang terhad, saya berasakan Yusry sudah memberikan peluang untuk keluar daripada kopompong diri.

"Ini juga sedikit sebanyak mengajar saya yang mana, walaupun dalam keadaan† terhad kita tetap tidak boleh buat kerja cincai," katanya.

Berkongsi mengenai 6 Hari, Lisa berkata penggambaran mengambil masa 6 hari bermula 6 Mei lalu.

"Penggambaran dibuat pada 6 Mei iaitu ketika PKPB. Kalau penggambaran biasa membabitkan ramai kru, kali ini kami bertiga termasuk seorang jurukamera. Peralatan pula menggunakan telefon dan kamera yang sesuai untuk visual penyiaran TV. Lampu dan peralatan lain semua tidak ada. Memang sangat terhad dan terbatas.

"Pada 12 Mei kami 'wrap'. Selepas itu terus buat proses suntingan dan penambahbaikan dari segi visual dan warna. Hujung bulan dah serahkan pada pihak Astro. Kiranya, agak cepat juga.

"Malah, pada raya pun Yusry sambung buat kerja. Sebab masa yang diberikan agak terhad.

Kalau ikutkan, tarikh tayangan asal pada hari raya pertama. Tapi, kami minta lebih waktu sedikit.

"Ia cabaran yang kami sahut dan buat. Tapi terasa mencabar sebab tak pernah dibuat orang. Kiranya, untuk penyiaran TV ini karya pertama seumpamanya," katanya.

Tampil Aaron, Neelofa

Selain Lisa dan Yusry, telefilem itu turut menampilkan dua lagi pelakon popular iaitu Datuk Aaron Aziz dan Neelofa.

Menurut Lisa, kedua-dua bintang tu adalah pilihan yang sama difikirkan Yusry ketika menulis skrip cerita itu.

"Ketika Yusry menulis skrip, dia tak cakap pada saya pun pelakon untuk dua watak itu, terutama yang menjadi kawan baik saya. Ketika saya baca skrip, dia tanya siapa yang dibayangkan untuk watak berkenaan.

"Saya terus cakap Lofa. Selepas itu dia senyum.

Sebab dia pun membayangkan Lofa ketika menulis skrip. Begitu juga dengan Aaron, yang mana kami bayangkan perkara sama.

"Apabila kami tawarkan pada mereka, mereka terus cakap okey. Macam Lofa, ketika saya mesej mengenai tawaran itu, dia minta saya menghubunginya untuk diberi penerangan lebih jelas sebab dia berminat nak buat.

Kami pun berbesar hati sebab dia terbuka nak buat," katanya.

Menurut Lisa, dia dan Yusry menyahut cabaran diberikan pihak Astro Citra yang dipanggil 'Cabaran Duduk Rumah' dengan menghasilkan telefilem itu.

"Pihak Astro Citra menghantar e-mel dan memberi tawaran kepada beberapa pihak dalam industri yang dipanggil 'Cabaran Duduk Rumah'. Mereka minta cadangkan sebuah cerita dengan limitasi yang ada.

"Jadi, Yusry mencadangkan kepada saya untuk kami mencuba. Selepas 'pitch' jalan cerita dan mereka luluskan, baru kami mula proses pra produksi. Kalau nak tahu, kami menggunakan seorang saja jurukamera. Itu pun selepas dia menjalani ujian Covid-19, keputusan negatif dan kuarantin diri," katanya.

Melihatkan hasil telefilem itu, Lisa yang juga pelakon Ombak Rindu berkata, apa yang ingin disampaikan adalah itu cabaran penggiat seni bagi memastikan industri kreatif terus berjalan.

"Selepas melihat hasilnya, ia bukan cerita yang ringkas. Saya puas hati dengan pelbagai lapisan yang ada. Bukan saja dari segi jalan cerita, watak, tapi juga pembikinannya.

Walaupun dengan kekangan waktu untuk menyiapkan skrip dalam tempoh tiga hari.

"Kami sudah buat yang terbaik untuk projek ini. Harap penonton tetap terhibur. Mesej di sini, bukan nak kata bagusnya kami dapat menyiapkan cerita ini, tapi dalam situasi sekarang, ini cabaran kepada pemain industri.

"Ini sesuatu yang boleh kita belajar bersama-sama untuk bergerak ke hadapan supaya industri kreatif mampu terus berjalan," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 6:00am
d