utama

'Belum tentu saya mampu'

Oleh Najiy Jefri

SEBAGAI tanda sokongan dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan, penyanyi popular Dayang Nurfaizah dan Primeworks Studios bekerjasama menghadiahkan lagu yang digubah khas untuk mereka.

Siapa sangka, petugas barisan hadapan yang berjuang dan berkorban sewaktu memerangi wabak Covid-19 berjaya menggalas tugas dengan sebaiknya apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan pada 9 Jun lalu.

Dayang berkata, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran itu dan menyifatkan ia sesuatu yang istimewa selain dapat mengukir senyuman kepada golongan terbabit.

"Apabila diberitahu lagu ini ditujukan untuk siapa dan berkenaan apa saya terus bersetuju. Walaupun orang kata lagu raya ini perlu ada suntikan muzik tradisional tapi bagi saya ia sangat istimewa.

"Lagu dan lirik digubah khas untuk mereka yang bertungkus-lumus mengharungi detik getir memerangi wabak yang melanda negara dan dunia sekarang ini. Saya amat menghargai pengorbanan mereka. Diharapkan lagu ini dapat memberi mesej positif dan melekat di hati semua pendengar.

"Menjadi barisan hadapan ini memerlukan seseorang yang tabah, kuat mental serta fizikal. Bukan saja tidak dapat balik beraya, mereka perlu bertugas berhadapan dengan risiko yang tinggi daripada musuh yang kita tidak nampak.

"Saya penyanyi, saya tidak merasakan apa yang mereka lalui. Malah saya belum tentu boleh buat seperti apa yang mereka buat sekarang ini. Pengorbanan mereka sangat besar untuk kita disia-siakan," katanya.

Jika diimbas kembali, Dayang tidak pernah tampil dengan lagu raya solo sebelum ini memandangkan dirinya yang lebih menggemari lagu raya klasik.

"Saya lebih memilih untuk mendengar lagu raya yang lama. Lagu raya lama mempunyai 'feel' dan 'vibe' tersendiri.

"Disebabkan itu untuk lagu raya saya tidak terkejar-kejar untuk buat kerana selagi saya tidak jumpa yang betul-betul sesuai, saya tidak akan menyanyikan.

"Saya tak nak lagu raya saya sekadar ada, tapi kali ini berlainan, tambah lagi lirik pula ditulis oleh Datuk Ahmad Izham Omar, jadi saya fikir mengapa tidak sebab saya rasa lagu ini istimewa apatah lagi ia didedikasikan khas buat barisan hadapan," katanya.

Menurut Dayang, rakaman lagu ciptaan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar itu dibuat sendiri di rumah sekali gus memberi cabaran baharu dalam kerjayanya.

"Bukan mudah nak rakam lagu di rumah kerana saya tidak mempunyai bilik khas untuk sesi rakaman. Jadi saya terpaksa membeli beberapa alat dan mikrofon yang sesuai untuk merakam lagu ini di rumah.

"Untuk lagu ini saya rakam banyak kali sebab bimbang kualiti lagu yang dirakam tidak memuaskan hati ramai. Kalau di studio ada yang pantau dan tidak mengambil masa yang panjang, tapi disebabkan saya perlu buat sendiri, rakaman lagu ini ambil masa hampir sehari. Itu belum lagi dengan masalah persekitaran seperti pastikan keadaan di rumah tidak bising dan sebagainya.

"Menerusi single ini saya banyak belajar banyak ilmu baru. Kalau dulu ada yang tolong tapi sekarang ini saya perlu sesuaikan diri dengan normal baharu yang berlaku," katanya.

Selain itu, Dayang berterima kasih kepada Primeworks Studios kerana memberi dia peluang untuk menyanyikan lagu istimewa berkenaan.

"Ia adalah salah satu impian saya untuk bekerjasama dengan Datuk Ahmad Izham dan saya berharap ini hanya permulaan untuk kami," katanya.

Hargai pengorbanan

Tidak pernah bermimpi atau bercita-cita menjadi petugas barisan hadapan, Dayang berkata, kerjaya itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Kata pelantun lagu Lelaki Teragung itu, dia menganggap kerjaya mulia itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak semua mampu lakukan.

"Kalau nak jadi petugas barisan hadapan fizikal dan mental kena kuat. Kerjaya ini bukan mudah kerana terdedah dengan risiko yang bahaya selain banyak pengorbanan yang perlu dibuat.

"Saya sendiri belum tentu mampu lakukan seperti yang mereka buat demi negara. Namun saya harap nyanyian saya ini dapat memberi sedikit senyuman di wajah mereka.

"Masa kecil dulu saya memang tak pernah bercita-cita nak jadi petugas barisan hadapan. Saya tak cukup kuat untuk menggalasnya," katanya.

Menyentuh mengenai normal baharu, Dayang berkata, dia sentiasa berpesan kepada dirinya untuk memastikan diri memakai pelitup muka

"Mula-mula memang kekok nak ikut normal baharu ini tapi demi keselamatan diri dan orang lain saya kena pakai pelitup muka apabila nak keluar.

"Saya akan selalu ingatkan diri dan lama-kelamaan ia menjadi sesuatu yang biasa dan perlu dipatuhi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dayang berkata, dia akan kembali mempromosikan single terbaharunya bersama X Missing You.

Single terbabit turut menampilkan Faizal Tahir bersama Tuju dari kumpulan Hip Hop terkenal K-Clique dan Yonnyboii.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 6:00am
d