utama

Juliana Evans 100 tercantik

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

PELAKON, Che Puan Juliana Evans, 31,  tidak menyangka namanya tersenarai dalam 100 Wanita Paling Cantik 2020 (Top 100 Most Beautiful Woman) dalam satu undian yang dilakukan laman web Starmometer, baru-baru ini.

Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans ketika dihubungi berkata, dia sendiri tidak tahu mengenai undian itu dan berterima kasih kepada yang mengundinya.

"Alhamdulillah, ada yang sudi mengundi saya dan mesti mereka adalah orang-orang Malaysia. Jadi, saya ambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada yang sudi mengundi," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai kecantikan, ibu kepada puteri bernama Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah itu berkata, dia lebih selesa dengan kecantikan semulajadi.

"Saya orang yang percayakan kecantikan semulajadi. Jadi, bila ada orang yang menghargai, saya tumpang rasa gembira.

"Apabila usia meningkat, saya tak terlepas daripada berdepan garisan dan kedutan serta masalah kulit yang lain. Namun, itu tak menjadi masalah buat saya," katanya.

Dalam undian itu, Juliana berada di tangga ke 72 mengatasi beberapa selebriti Hollywood seperti Emma Stone di tangga ke 75, Taylor Swift (76) dan Amanda Seyfried (78).

Menduduki tangga pertama ialah pelakon Korea Selatan yang popular dengan siri Crash Landing On You, Son Ye-Jin.

Turut tersenarai ialah bintang popular Hollywood dan Bollywood seperti Gal Gadot, Priyanka Chopra, Deepika Padukone, Emma Watson dan Selena Gomez.

 

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 2:38pm
d