utama

Sultan Johor arah MAINJ siasat kain rentang anti Rohingya

Oleh Mohamed Farid Noh

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menjalankan siasatan terperinci mengenai isu kain rentang anti Rohingya dipasang di Masai, yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di Facebook rasmi baginda bertitah, isu berkenaan yang tular di media sosial juga mendatangkan reaksi dan imej negatif.

"Isu kain rentang anti Rohingya yang tular di dalam laman media sosial baru-baru ini, mengundang pelbagai reaksi negatif, terutamanya terhadap institusi masjid dan surau di kawasan berkenaan.

"Justeru, saya sudah mengarahkan MAINJ dan Pejabat Penghulu untuk menjalankan siasatan terperinci seterusnya melaporkan semula terus kepada saya.

"Saya juga mahu semua pihak berhenti daripada menyebarkan khabar angin dan spekulasi kerana tindakan sedemikian hanya akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat," titah baginda dalam muat naik berkenaan.

Sejak beberapa hari lalu, gambar kain rentang yang dipasang di hadapan sebuah masjid di Kampung Plentong Baru, Masai, yang tular di media sosial mendapat reaksi negatif netizen.

Sementara itu, Sultan Ibrahim meminta semua pihak juga tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.

"Jangan terburu-buru mengeluarkan kenyataan di media sosial tanpa usul periksa sehingga lupa bahawa perkara yang ditulis kemungkinan adalah fitnah.

"Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan" titah baginda.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 3:56pm
d