utama

2 lagi disahkan maut di Hospital Yan

Oleh Nor Farhani Che Ad

POLIS mengesahkan dua lagi maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Titi Batu berdekatan Kampung Titi Batu, Batu 18, Yan, hari ini, menjadikan tiga korban keseluruhan nahas itu.

Dalam kejadian 4.30 petang, penumpang hadapan Proton Iriz dikenali sebagai Mohamad Yussof Rosli, 31, meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala dua lagi mangsa, pemandu kereta Proton Iswara, Muhammad Azman Gul Khalid, 17, dan penumpang hadapan kereta terbabit, Nurul Nabilah Asmadi, 18, meninggal di Hospital Yan.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata dalam kemalangan itu, Proton Iriz terbabit dalam perjalanan dari Batu 18 menghala ke Titi Batu.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Iswara yang datang dari arah hadapan dipercayai memasuki laluan Proton Iriz.

"Akibat jarak terlalu dekat pemandu Proton Iriz tidak sempat membrek dan mengelak lalu berlanggar dengan Proton Iswara berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahnaz berkata, kemalangan turut mengakibatkan pemandu Proton Iriz mengalami patah kaki, manakala dua penumpang belakang Proton Iswara cedera ringan.

Katanya, kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit sebelum salah seorangnya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Seorang maut, lima cedera kemalangan dua kereta

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 11:49pm
d