utama

Serlah sisi romantik

Oleh Georgie Joseph

LEBIH 10 tahun kembaranya dalam bidang seni, pelakon, Fadlan Hazim terus mencari nama kukuh tanpa ada sekelumit rasa putus asa.

Transisi karier juga semakin maju lantaran usaha keras dan terus konsisten.

Fadlan atau nama sebenarnya Fadlan Hazim Anuwar, 28, sedar langkahnya sedikit ke belakang berbanding rakan seangkatan lain seperti Syafiq Kyle.

Namun, dia enggan membandingkan kejayaan peribadi dengan rakan artis lain.

Bagi dirinya, kepuasan sebagai anak seni terletak pada kemajuan aspek penting dalam nilai diri sepanjang karier.

Dia tidak mahu semangat membara untuk meningkatkan kemampuan dirinya terjejas dan beransur pudar.

"Saya akui memang ketinggalan sedikit daripada segi aura dan kualiti bakat berbanding rakan seangkatan lain. Beberapa rakan lain termasuk Syafiq sudah pun ke depan dan diakui kehebatannya.

"Namun, saya tidak sama sekali mahu mengeluh mengenai kedudukan diri apatah lagi mencari apa silap saya. Memang kadang-kadang terbit juga persoalan itu di mana saya tertanya pada diri kenapa saya belum sebaris tahap mereka.

"Apapun, saya tidak mahu sama sekali memandang persoalan itu daripada segi negatif sebaliknya cari ikhtiar memperbaiki diri. Bagi saya, peluang yang kami dapat berbeza dan saya tidak pernah tidak mensyukuri apa saya dapat," katanya.

Fadlan juga berkongsi mengenai keseronokan kerjaya seninya semakin dirasai sekarang sebaik mencabar diri menerima watak komedi romantik.

Dua drama lakonannya iaitu Manuskrip Cinta dan Alergi Mamat Romantik baru-baru ini benar-benar memberi kepuasan berbeza.

Dia mengakui, perhatian diberikan penonton terhadap lakonannya dalam dua naskhah itu cukup menggembirakan.

Apatah lagi, dia sendiri masih berasakan watak sebegitu baru untuk dirinya.

"Tidak sangka, menjadi juga karakter saya sebagai lelaki romantik. Tapi, bukan saya nak membangga diri dan perasaan bagus, sekurang-kurangnya ada peminat suka serta memuji sisi berbeza saya itu.

"Secara peribadi, saya sendiri tahu banyak aspek lagi saya perlu tingkatkan demi memastikan watak lelaki romantik dalam diri menjadi. Disebabkan itu, saya sangat bersyukur apabila sudah melakukannya sendiri," katanya.

Sekali gus, Fadlan bersyukur apabila imej watak antagonis yang cukup sebati dengan lakonannya sebelum ini beransur pudar.

Kerap menjayakan watak sebegitu sebelum ini membuatkan dia enggan dibelenggu imej sama.

"Apabila sudah mencuba watak romantik, perlahan-lahan imej watak jahat yang kerap dilakonkan sebelum ini pudar. Semestinya saya sangat gembira dengan perkembangan itu apatah lagi banyak sisi lain saya mahu tonjolkan.

"Hakikatnya, buat masa ini saya cuba untuk lari daripada imej watak antagonis. Tidaklah nanti penonton hanya ingat saya dengan imej budak jahat sebaliknya sentiasa ternanti apa lagi mampu saya lakukan sebagai pelakon," katanya.

Banyak belajar dari PKP

Menjadi antara sektor paling terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fadlan tidak menafikan kerjaya seninya tergendala namun dia reda.

Bagaimanapun, dia sangat bersyukur apabila banyak hikmah sepanjang berdepan situasi itu.

Meskipun dirinya tinggal sendirian dalam tempoh terbabit, dia berkongsi dirinya belajar beberapa kemahiran baharu juga.

Apapun, dia tidak menafikan ada cabaran tersendiri dihadapinya juga akibat terlalu berkurung.

"Cabaran yang paling saya rasai adalah terpaksa duduk rumah seorang diri. Pada awalnya, saya seperti orang lain juga memanfaatkan masa untuk duduk bermalasan di rumah sehingga tahap mental terjejas.

"Apabila terlalu santai di rumah, perubahan dalaman jelas terasa sehingga saya kembali mengatur kembali aktiviti seharian. Saya sedar kebajikan diri juga perlu dijaga rapi meskipun terkurung di rumah.

"Saya kembali menyusun jadual harian dengan menyenaraikan aktiviti yang perlu saya lakukan seperti memasak, bersenam, menonton wayang dan mengasah nyanyian saya. Barulah saya rasa lebih produktif di rumah," katanya.

Bercerita lanjut, Fadlan berkata, dia juga mengambil kesempatan sepanjang PKP itu untuk muhasabah diri. Baginya, tempoh itu sebenarnya masa terbaik untuk dia menilai semula mengenai kehidupannya.

"Masa terluang sepanjang PKP itu benar-benar membuka minda saya untuk meneliti semula kehidupan saya selama ini. Saya kaji semula apa yang pernah saya lakukan sebelum ini dan mana aspek mahu diperbaiki.

"Ia termasuk juga menonton semula setiap lakonan saya. Daripada situ, banyak yang saya belajar mengenai kelemahan diri dan jadikannya panduan berguna untuk rujukan selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Fadlan mengakui dia bersedia untuk menerima corak bekerja normal baharu sebaik kembali menjalani penggambaran.

Dia juga tidak mahu lokek berbelanja peralatan sendiri untuk digunakan di lokasi penggambaran.

"Persediaan saya memang banyak tertumpu kepada peralatan keselamatan termasuk pelitup muka dan alat sanitasi. Begitu juga dengan alat mekap, saya beli sendiri untuk dipakai nanti bagi memudahkan kerja jurusolek selain menjaga penjarakan sosial.

"Saya tahu penggambaran selepas ini akan banyak cabarannya dan ambil masa lebih panjang. Bagaimanapun, saya juga seperti yang lain akan tetap mematuhi segala peraturan bagi memastikan keselamatan bersama terjaga," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 6:00am
d