utama

Lelaki paling gemuk di Wuhan

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang lelaki berusia 26 tahun dilabel orang paling gemuk di Wuhan sebaik berat badannya naik 100 kilogram (kg) selepas menjalani perintah berkurung selama lima bulan di rumahnya.

Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Zhou, antara penduduk yang dikenakan perintah berkurung sebaik virus itu tercetus di Wuhan.

Portal Oddity Central melaporkan sebelum perintah berkurung, Zhou menjaga berat badannya walaupun bekerja di kafe tempatan dan menjalani gaya hidup yang agak normal.

Tetapi, itu semua berubah ketika Zhou mula menghabiskan sebahagian besar waktunya di dalam rumah.

Tidak dapat membakar kalori, dia mula menambah berat badan dan dalam tempoh beberapa bulan, beratnya mencecah 280 kilogram.

Kes mengejutkan itu didedahkan salah seorang doktor yang merawatnya di Hospital Pusat Selatan Universiti Wuhan sebaik dia dimasukkan ke hospital pada 1 Jun lalu.

Dia dilaporkan memberitahu doktor tidak meninggalkan rumahnya sejak Januari.

Berat badannya membuatnya tidak dapat tidur dengan selesa sebelum terpaksa mendapatkan bantuan perubatan.

"Doktor, saya tidak dapat tidur selama 48 jam. Ia menjadi sangat tidak selesa. Boleh kamu bantu saya?" Zhou didakwa bertanya kepada Dr Li Zhen di Hospital Pusat Selatan Universiti Wuhan.

Ketika itu, dia sudah menghubungi doktor lain tetapi mereka enggan membantunya kerana berat badannya yang terlampau berat.

Selepas pasukan paramedik bertungkus-lumus mengeluarkan Zhou dari rumahnya untuk dibawa menaiki ambulans, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Ujian awal menunjukkan pelbagai gejala, seperti kegagalan jantung dan masalah pernafasan.

Malangnya, beratnya menyukarkan doktor untuk melakukan ujian lain seperti tekanan darah dan elektroensefalogram (EEG).

Selama 10 hari, doktor berusaha menstabilkan keadaan kesihatannya.

Dr Li mengatakan kegemukan berkenaan disebabkan oleh faktor genetik dan endokrin apabila ketidakaktifannya dan peningkatan pengambilan kalori selama lima bulan di Wuhan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 6:30am
    d