utama

Gelang Patah kena 'tawan'

Oleh Mohamed Farid Noh

ISKANDAR PUTERI: Kawasan Gelang Patah di sini, ibarat ditawan warga asing apabila deretan kedai dikuasai pendatang asing sejak lebih lima tahun lalu, sekali gus mendatangkan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Tinjauan di kawasan perniagaan Medan Nusa Perintis 1, Gelang Patah mendapati terdapat lebih 20 premis perniagaan atau kedai dikendalikan warga Bangladesh dan Pakistan secara terbuka.

Antara perniagaan dijalankan mereka termasuk kedai runcit, pakaian, restoran, kedai serbaguna selain kedai karpet dan perhiasan rumah.

Lebih berani, mereka turut memasang poster mengiklankan pelbagai perkhidmatan ditawarkan termasuk penghantaran pulang wang ke negara mereka dalam bahasa ibunda masing-masing, sekali gus menjadikan kawasan di situ seperti berada di negara asing.

Penduduk, Mohd Hafiz Daud, 39, berkata kewujudan deretan kedai warga asing itu menimbulkan kerisauan kepada penduduk tempatan di sebalik penularan wabak Covid-19 di negara ini yang turut dikaitkan dalam kalangan pendatang asing.

"Penduduk pernah membuat aduan dahulu, tetapi isu ini tidak pernah diselesaikan.

"Sekarang dengan kebimbangan terhadap wabak Covid-19, kami berharap pihak berkuasa mengambil serius masalah ini apatah lagi kawasan ini seolah-olah menjadi tempat mereka berkumpul setiap kali waktu petang dan malam dengan kebanyakannya tidak memakai pelitup muka pun.

"Tidak mustahil kawasan Gelang Patah akan jadi lubuk wabak yang bakal meletup pada bila-bila masa jika pihak berkuasa menutup sebelah mata mereka sahaja, " katanya ketika ditemui.

Penduduk, Azizah Sapari, 47, berkata perniagaan warga asing di situ bertahan lama berikutan disokong komuniti mereka sendiri.

"Kalau orang luar datang sini mesti mereka akan panggil kawasan ini sebagai Mini Bangladesh kerana deretan kedai di sini semuanya kedai milik warga berkenaan.

"Orang kita memang tidak berbelanja di situ kerana suasana deretan kedai kotor dan sangat menjijikkan disebabkan mereka tidak pandai menjaga kebersihan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, kerajaan Johor akan memastikan tidak ada lagi warga asing yang berniaga termasuk menjadi penjaja atau diambil bekerja di mana-mana pasar awam selain premis perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Katanya, tindakan tegas itu diperkasakan dengan lebih agresif selepas mengambil kira masa depan peniaga tempatan berikutan keadaan ekonomi kini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Semua 16 PBT di Johor ini akan ditugaskan untuk menyemak status peniaga sedia ada serta melakukan pemeriksaan di setiap pasar awam dan premis milik PBT mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja PBT Negeri Johor.

"Peniaga warga tempatan boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya menyewa atau memberikan lesen atau permit perniagaan mereka kepada warga asing yang mahu berniaga," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 6:50am
d