utama

SYG 8055 paling banyak dibida

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

NOMBOR pendaftaran SYG 1 antara nombor dibida paling tinggi iaitu RM115,000 dengan 14 pembida cuba mendapatkan nombor itu sejak bidaan dibuka 10 Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, nombor siri SYG bagi kawasan Sabah dibuka sehingga 11.59 malam 15 Jun lalu.

Menurutnya, nombor siri ini juga mengutip hasil tertinggi sebanyak RM3.4 juta selepas dibuka bidaannya melalui sistem JPJebid.

Ia mendahului siri ALL yang dibuka tahun lalu dengan perbezaan kutipan RM100,254.

"Selain itu, nombor siri paling banyak dibida adalah SYG 8055 dengan 25 pembida sebelum ia berjaya dimiliki dengan harga RM19,000.

"Sehubungan itu, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya, hari ini.

Shaharuddin berkata, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam.

"Orang awam juga disarankan memiliki ID mySiKAP bagi mendapatkan nombor semasa yang belum didaftarkan seterusnya membeli secara dalam talian.

"Mulai esok sehingga 22 Jun pula nombor siri VEV bagi kawasan Kuala Lumpur akan dibuka," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 12:30pm
d