utama

Dah dekat tapi 'jauh'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SELEPAS lebih tiga bulan terkandas di Sydney, Australia susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tanah air, akhirnya seorang ibu dan anak bongsunya dapat pulang ke pangkuan keluarga di Kampung Baru, Kemasik 13 Jun lalu.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Kangsar, Perak itu bersama anaknya, Ahmad Amar Iman Abdullah, 4, selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kingsford Smith, Sydney (SYD).

Aneta Ahmad, 44, berkata, dia bersyukur kerana penantiannya lebih tiga bulan untuk pulang ke pangkuan keluarga akhirnya tertunai.

"Saya tidak pernah berpisah lama dengan anak-anak, saya amat merindui mereka sepanjang berada di Sydney.

"Sedih mengenangkan nasib anak, Ainur Aisha Abdullah berusia 20 tahun dan Ainur Khatijah berumur 15 tahun yang terpaksa beraya tanpa saya. Kedua-duanya tinggal di kampung bersama nenek mereka, Halimah Ahmad yang berumur 61 tahun.

"Walaupun mereka sudah dewasa dan boleh berdikari namun saya tetap hiba kerana terpisah sepanjang PKP," katanya semalam.

Aneta dan Ahmad Amar sedang menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah dan Aneta masih belum dapat berhubung secara langsung dengan Ainur Aisha serta Ainur Khatijah.

"Saya masih tidak dapat melepaskan rindu lagi kerana tidak boleh memeluk dan mencium mereka.

"Ketika pemeriksaan Covid-19 di KLIA sejurus tiba, kami disahkan bebas Covid-19, tetapi prosedur operasi standard (SOP) memerlukan kami dikuarantin 14 hari," katanya.

Menurut Aneta, dia dan anak-anak sudah merancang untuk membuat sambutan Aidilfitri selepas tamat tempoh kuarantin.

"Saya mahu raikan anak-anak dengan pelbagai masakan istimewa ketika Aidilfitri termasuk rendang itik kegemaran mereka," katanya.

Sementara itu, Ainur Aisha berkata, dia dan Ainur Khatijah cukup teruja dengan kepulangan ibu serta adik bongsu mereka.

"Kami sentiasa membuat panggilan video sepanjang ibu dan adik di Sydney.

"Ketika ini, kami masih mengekalkan jarak sosial dengan ibu dan adik termasuk memakai pelitup muka di rumah," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Ainur Aisha dan Ainur Khatijah terpaksa menyambut Aidifitri bersama Halimah selepas ibu bapa serta adik lelaki terkandas di Sydney sejak 18 Mac lalu ekoran PKP.

Menurut Ainur Aisha, Aneta membawa Ahmad Amar Iman untuk bertemu bapa mereka, Abdullah Ramli, 46, di Australia pada 7 Mac lalu dan sepatutnya pulang semula pada 2 April lalu.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 7:01am
d