utama

Warga Indonesia positif Covid-19 menghilangkan diri

Oleh Mohd Roji Kawi

DUA warga Indonesia yang disahkan positif Covid-19 menghilangkan diri dari kediaman mereka di rumah kongsi tapak pembinaan di Petra Jaya, Kuching, sejak petang semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak berkata, dua warga asing itu dikesan positif selepas mereka membuat ujian Covid-19 sebagai saringan bagi permohonan permit kerja mereka, kelmarin.

Bagaimanapun, ketika pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke rumah kongsi berkenaan selepas keputusan ujian diperolehi petang semalam, kedua-dua warga Indonesia itu didapati tiada di kediaman mereka.

"Sehingga kenyataan ini disediakan, polis masih berusaha mengesan kedua-dua warga asing itu.

"Kepada pihak majikan, JPBN menggesa mereka supaya berwaspada dan membuat laporan kepada pihak polis sekiranya mendapati dua orang pekerja (dari luar) cuba menyembunyikan diri di tempat mereka," katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini.

Dua warga Indonesia itu antara penyumbang kepada empat kes positif Covid-19 baharu di negeri ini, hari ini.

Dua lagi kes membabitkan rakyat tempatan di Kuching dengan seorang daripadanya lelaki berusia 33 tahun yang bekerja di sebuah syarikat pengurusan acara swasta.

Lelaki terbabit membuat saringan ujian Covid-19 di hospital swasta kerana ingin mengetahui status jangkitan terhadap dirinya.

Kes kedua pula membabitkan seorang wanita warga emas berusia 71 tahun yang dikesan positif ketika menjalani ujian Covid-19 sebagai saringan sebelum pembedahan mata.

Pengesanan kontak kepada kedua-dua kes rakyat tempatan itu dan punca jangkitan masih dalam siasatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Berikutan empat kes baharu yang dilaporkan hari ini, jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak kini meningkat kepada 565 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 6:08pm
    d