utama

Teruja dapat komen positif

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

LAUTAN mana yang tidak bergelombang dan bumi yang mana tidak ditimpa hujan. Begitulah ibaratnya perjalanan hidup pelakon Fathia Latiff.

Keputusannya membuka tudung setahun lalu menerima kecaman hebat masyarakat.

Fathia yang mula mencipta nama menerusi drama rantaian Nur Kasih dilihat berdepan kesukaran dalam hidupnya dan perlu dibantu.

Bagaimanapun, dia kembali memakai tudung sebelum Ramadan lalu dan tindakan ini disambut baik peminatnya.

"Saya gembira dan terkejut dengan apa yang dilalui sekarang. Selama ini asyik kena kecam sahaja tapi kali ini amat berbeza.

"Saya memang teruja tengok reaksi mereka. Paling terharu apabila mereka bagi nasihat, tulis panjang-panjang di Instagram beri kata semangat.

"Baru saya sedar orang Malaysia sukakan perubahan yang positif. Kalau yang tak elok mereka kecam. Yang baik mereka puji melambung, minta terus istiqamah dan sebagainya," katanya.

Selaras dengan perubahan yang dibuat, pelakon bernama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff ini dilihat membuang gambar lama dan menggantikannya dengan gambar bertudung.

Lebih 10 tahun melangkah masuk sebagai anak seni, Fathia gembira apabila dirinya kembali mendapat perhatian pelbagai pihak.

"Alhamdulillah, sudah ada beberapa penerbit menghubungi saya untuk bertanya khabar dan bincang tawaran berlakon.

"Saya pun sudah kembali aktif buat projek sendiri. Minggu ini saya sibuk dengan penggambaran untuk produk tudung saya dan lain-lain lagi.

"Untuk kali ini saya bergerak dengan ditemani pembantu peribadi. Tak lagi macam dulu, habis kerja saya akan terus balik rumah," katanya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya diadakan acara yang bertujuan menghargai penggiat seni, dia tetap akan hadir sebagai tanda menghargai sokongan yang diberikan.

Teman lelaki bukan lagi keutamaan

Fathia pantas menepis apabila dikatakan perubahannya mungkin sebagai persediaan untuk berumah tangga.

"Bukan kerana itu. Saya sudah boleh tahu siapa yang boleh terima saya seadanya. Ketika saya tak okey, tiada siapa yang nak.

"Pengalaman buat saya kenal manusia lebih dekat. Ibaratnya dia sukakan saya tapi apabila jadi masalah, dia hanya tengok sahaja macam tiada apa-apa. Saya akui banyak buat salah sebelum ini. Dulu saya terikut dengan cara hidup yang tiada had. Buat apa pun tanpa kawalan. Sekarang saya akan kawal tingkah laku," katanya.

Fathia bagaimanapun tidak menolak sekiranya jodoh sudah sampai.

"Terserah pada Allah untuk beri lelaki mana yang sesuai. Sebenarnya keluarga saya ada calon-calon kegemaran tapi saya belum sedia kerana nak fokus pada karier.

"Tiada sasaran lagi kerana saya nak kumpul duit banyak-banyak. Namun sekiranya kalau dah ada jodoh dan Allah bukakan hati saya, insya-Allah saya akan kahwin. Apapun buat masa ini, pasangan lelaki bukan lagi keutamaan," katanya.

Dia juga secara jujur mengakui tidak berminat dengan lelaki yang memegang prinsip cinta pandang pertama.

"Konon nampak saya, terus jatuh hati. Sedangkan mereka bukan tahu jatuh bangun saya," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 6:00am
d